fbpx

29 warga asing guna kad pengenalan palsu dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslin menunjukkan kad pengenalan palsu yang berjaya dirampas pada sidang akhbar berhubung Ops Pintas di JPN Putrajaya, hari ini.- Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Seramai 29 warga asing dicekup kerana memiliki kad pengenalan palsu menerusi satu operasi khas (Ops Pintas) yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sekitar kawasan perindustrian Puchong, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi pukul 6 pagi itu yang dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya telah berjaya menahan tiga lelaki dan 26 wanita warga asing berusia 19 hingga 70 tahun.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan awam dan berdasarkan risikan yang dijalankan selama 10 hari mendapati ramai warga asing di kawasan berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja.

“Pemeriksaan terperinci terhadap 14 penumpang di dalam sebuah van berjaya menemui sebanyak 13 kad pengenalan palsu dan satu kad pengenalan milik orang lain yang digunakan oleh mereka.

“Susulan itu, anggota operasi kemudiannya membuat pemeriksaan susulan di kawasan Taman Perindustrian Puchong dan menahan 15 lagi individu yang kesemuanya menggunakan kad pengenalan palsu.

“Ketika pemeriksaan, kita dapati ada warga asing yang bertindak membuang kad pengenalan palsu mereka untuk mengelak daripada ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPN di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua 29 warga asing yang ditahan mengaku berasal dari Sulawesi, Medan serta Acheh, Indonesia dan kad pengenalan itu diperolehi dengan bayaran sebanyak RM300 daripada ejen yang tidak dapat dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, semakan lanjut mendapati kesemua kad pengenalan palsu yang digunakan oleh warga asing terbabit tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan hanya menggunakan cip murah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI