PUAS! Itu perasaan pertama yang dirasakan usai menyaksikan konsert kumpulan pop Ireland popular, Westlife yang berkunjung ke negara ini sempena Westlife The Wild Dreams Tour minggu lalu.
Durasi tak sampai dua jam konsert memang singkat, tetapi tempoh itu cukup padat dengan pengisian mengimbau kenangan.
Westlife, satu nama yang sangat tidak asing kerana rata-rata masyarakat negara ini cukup lazim dengan dendangan popular mereka sejak dari zaman muda.
Senang kata, mereka yang berumur hujung 20-an dan ke atas membesar dengan nyanyian popular kumpulan itu. Barangkali ada juga yang belajar mengenal bahasa Inggeris menerusi lagu-lagu mereka.

Menyaksikan sendiri kehadiran empat ahli kumpulan itu, Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily di depan mata walaupun duduk jauh sebatu, tetap menimbulkan perasaan berbunga di dalam dada.
Pentas bermula pukul 8.45 malam diawali dengan lagu baharu berjudul Starlight pantas menyuntik bahang teruja buat seramai 8,000 penonton yang hadir pada hari pertama konsert.
Menyambung kerancakan suasana yang mula memanas, Westlife bikin peminat melompat bangun dari kerusi apabila mendendangkan lagu hit, Uptown Girl disusuli When You’re Looking Like That, Fool Again dan If I Let You Go.
Dekat di hati
Penganjuran konsert Westlife pada minggu lalu menyaksikan ini merupakan kemunculan terkini mereka ke Malaysia selepas empat tahun, kali terakhir berkunjung ke negara ini sekitar 2019 sempena The Twenty Tour in Malaysia.
Shane ketika menyapa peminat meluahkan rasa gembira kerana dapat kembali Malaysia yang diibaratkan sangat dekat dengan hati mereka.
Benar, Westlife antara artis antarabangsa yang memang cukup dekat di hati peminat Malaysia. Zaman persekolahan dan remaja kita diisi dengan lagu-lagu kumpulan itu yang diputarkan di corong radio.
Jika lirik lagu mereka diterbitkan dalam sisipan majalah, pasti digunting dan ditampal di dinding menjadi penghias bilik. Menggamit memori!
Berterusan mengajak peminat ‘hanyut’ mengulang kenangan, perhatian peminat terus digenggam dengan persembahan lagu popular seperti My Love, Swear It Again, Abba Medley, What About Now dan I Lay My Love On You.

Tidak sekadar menghiburkan, Westlife bijak mencuri hati ramai apabila kerap berinteraksi terutama ketika Nicky mengajak peminat menyalakan lampu telefon masing-masing.
Dalam suasana stadium gelap yang dipenuhi cahaya telefon peminat, Westlife terus mengisi malam dengan persembahan lagu Seasons In The Sun, World of Our Own dan Crazy.
Sempat mengusik apabila mengakhiri persembahan begitu sahaja dan berlari turun ke pentas, peminat sedar ada ‘sesuatu’ tidak lengkap memanggil-manggil nama Westlife untuk encore.
Kembali muncul dengan persalinan terakhir, kumpulan yang ditubuhkan pada 1998 di Dublin itu menghadiahkan hit Flying Without Wings, Hello My Love dan terakhir, lagu You Raise Me Up.
Usia, energetik
Satu hal yang menarik untuk dibicarakan adalah keharmonian sebagai sebuah kumpulan sekali gus membuktikan tempoh lebih dua dekad menguatkan ikatan antara mereka.
Saling melengkapi, itulah ‘didikan’ sebuah pengalaman yang menjadikan siapa Westlife pada hari ini. Ampuh melawan peredaran zaman meskipun usia muda sudah lama meninggalkan.
Usia semakin menua, fizikal tidak sekecil dahulu bahkan masing-masing berstatus suami serta bapa (kecuali Mark), perut juga sudah agak ke depan, tetapi stamina energetik!

Ada banyak momen mencuit hati sepanjang konsert. Pada usia menghampiri 50 tahun seperti ‘pak cik – pak cik’, namun Westlife tetap lincah di atas pentas.
Beberapa kali mereka menonjolkan sisi comel dengan tarian bersahaja, sesekali melayangkan ‘mini love’, itu ‘fan service’ terbaik diberikan Westlife kepada peminat yang hadir.
Terima kasih Westlife kerana menghidupkan konsert dengan 1,001 kenangan zaman remaja kami. Lagu-lagu kalian akan selamanya ‘remaja’ meskipun anda dan kami sudah semakin menua. Jumpa lagi!














