fbpx

Beli jersi ori demi kelangsungan kelab bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peminat Negeri Sembilan FC melihat jersi pasukan itu yang dijual selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Majlis Memperkenalkan Pemain Liga Super NSFC 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban baru-baru ini. - MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.

PERLAWANAN Piala Sultan Haji Ahmad Shah membabitkan pasukan Johor Darul Ta’azim menentang Terengganu pada Jumaat lalu menandakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023 telah membuka tirainya secara rasmi.

Kini, kesemua pasukan dalam Liga M akan bersaing bagi merebut lima lagi trofi kejuaraan yang dipertandingkan pada musim ini iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

Pada musim ini, terdapat beberapa pasukan dilihat berbelanja besar dalam usaha mendapatkan pemain berprofil tinggi bagi memantapkan skuad masing-masing.

Pastinya, usaha tersebut membabitkan perbelanjaan besar daripada pihak pengurusan hasil daripada dana yang diperoleh daripada para penaja.

Hakikatnya, dana yang diberikan oleh para penaja sahaja tidak mencukupi bagi menampung kos pengurusan setiap pasukan sepanjang semusim terutamanya dengan pertambahan jumlah pemain import kepada sembilan orang pada musim ini.

Disebabkan itu, ada pasukan yang mengharapkan sokongan daripada para peminat untuk mengisi kantung kewangan mereka menerusi jualan tiket masuk ke stadium, jersi dan barangan cenderamata.

Justeru, penulis menyeru supaya para peminat bola sepak tempatan dapat memenuhi segenap ruang stadium pada setiap perlawanan bagi membantu dan memastikan kelab dapat menjana pendapatan menerusi penjualan tiket.

Penulis juga menyokong usaha beberapa kelab yang mewujudkan pas masuk semusim kepada para peminat. Ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada peminat daripada segi harga, malah kelab dapat menjana keuntungan mudah.

Pada musim ini juga terdapat beberapa pasukan yang menampilkan jersi dengan rekaan cukup menarik seperti Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan Perak.

Bagi mereka yang berkemampuan, anda disaran supaya membeli jersi original atau asli daripada para pengedar sah. Elakkan daripada membeli jersi ‘fake’ yang dijual di sekitar stadium sebelum perlawanan berlangsung atau platform e-dagang.

Sebagai peminat bola sepak tempatan, kita perlu mempunyai kesedaran untuk membeli jersi asli dalam usaha membantu pasukan kesayangan menjana pendapatan. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak beli jersi-jersi tersebut.

Sebagai contoh, kelab Jepun iaitu Vissel Kobe FC telah menjual jersi asli mereka pada harga ¥35,000 (RM1,194) untuk jersi edisi pemain dan jersi replika pula berharga ¥20,000 (RM682).

Meskipun harga jersi mereka dianggap ‘kayangan’, namun penyokong tetap membeli jersi berkenaan dan hasil daripada keuntungan tersebut digunakan untuk kelangsungan dan kecemerlangan kelab.

Andai semua penyokong mempunyai kesedaran sendiri untuk tidak membeli jersi tiruan, penulis pasti pihak yang terlibat dalam industri berkenaan tidak senang duduk dan akhirnya perniagaan mereka terkubur dengan sendirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI