fbpx

Nankairel ‘pawang’ ikan bertaraf antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANKAIREL bersama toman seberat 13.6 kg yang berjaya dipancingnya.

LAMA sebenarnya penulis merancang untuk bertemu dengan saudara Shamsul Azmi Azman atau lebih dikenali sebagai Nankairel.

Mana tidaknya, selama penulis aktif dalam dunia mengilat (sebelum itu penulis lebih kepada teknik pancingan dasar) keinginan bersua muka dengannya masih belum terlaksana.

Banyak kisah yang penulis dengar dari mulut ke mulut mengenai kehebatan Nankairel dalam dunia memancing sehingga diberi gelaran ‘pawang ikan’.

Hal ini kerana Nankairel jarang ‘kumpau’ jika turun memancing.

Kebetulan ketika penulis menyiapkan artikel Gewang pada bulan lalu, Nankairel berjaya menaikkan toman seberat 13.6 kilogram (kg) dengan tali berkekuatan 20 lb Ozmy.

Kejayaan tersebut menjadi bualan dalam pelbagai platform media sosial, sekali gus menjadi tangkapan terbaiknya sepanjang berkecimpung dalam dunia memancing.

Menariknya, Nankaireel menggunakan joran sama yang digunakan oleh Alip ‘Rapala OZ’ daripada FAS tackle ketika menaikkan toman tersebut.

Setelah hampir seminggu menghendap ‘mama’ toman tersebut di sebuah lokasi yang sememangnya dirahsiakan daripada umum.

Segala rekod berkaitan berat, panjang dan saiz induk toman tersebut kemudian dihantar kepada International Game Fish Association (IGFA) untuk tujuan pengesahan melalui wakilnya di Malaysia.

Jika tiada halangan, ia bakal masuk di dalam senarai rekod dunia IGFA bagi kelas 20lb dan All-tackle.

Berasal dari Kampung Lindungan, Petaling Jaya dan kini menetap di Sungai Buaya, Rawang, Selangor, Nankairel menjadikan memancing sebagai sebahagian daripada sumber pendapatan dengan menjadi guide kepada pemancing dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, dia mula memancing sekadar suka-suka sekitar 20 tahun lalu, sebelum aktif pada 2010.

“Ketika mula bergiat secara serius, boleh dikatakan hampir setiap bulan saya berulang-alik ke Tasik Kenyir (Terengganu) bersama kartunis Ujang.

“Selain Tasik Kenyir, antara tempat yang gemar dikunjungi adalah Sri Ganda (Kinabatangan, Sabah), Empangan Ban Lang di Thailand, selain Sungai Kebeng di Royal Belum, Perak,” tambahnya.

Nankairel juga merupakan antara guide berpengalaman di lombong Tan Chong di Rawang.

NANKAIREL berjaya mendaratkan yu kemenjan mega di perairan Pulau Jarak, Perak.

Menyentuh mengenai lombong Tan Chong, dia pernah terserempak kelibat toman besar sepanjang hampir satu meter yang menunjukkan rupa di permukaan air.

“Ini membuatkan saya terkesima sebentar melihat toman raksasa itu,” cerita Nankairel sambil ketawa.

Tidak hanya memberi fokus kepada memancing air tawar, malah sesekali dia turun ke laut.

Paling diingati Nankairel apabila berjaya menaikkan seekor yu kemejan mega di perairan Pulau Jarak di Perak dengan teknik pancingan dasar.

Menerusi pengalamannya dalam dunia memancing, Nankairel berjaya menarik minat jenama-jenama besar dalam dunia memancing untuk dilantik sebagai pro-staff dan tester.

Pada bulan ini, dia akan membawa rombongan pemancing dari Sepanyol ke Sungai Kedah bagi memburu toman.

Menurut Nankairel, reputasi toman Sungai Kedah sememangnya telah dikenali hampir di seluruh dunia hasil usaha pemancing Malaysia yang memuat naik video ke dalam YouTube.

Katanya, ini menyebabkan ada pemancing dari luar negara yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk memburu spesies ‘samseng’ tersebut.

“Selain Sungai Kedah, Sri Ganda turut menjadi pilihan pemancing dari luar negara untuk memburu spesies ‘black bass’ (Lutjanus goldiei) atau kanai,” katanya.

Mengulas mengenai industri memancing di negara, dia berkata, Malaysia sememangnya mempunyai ‘padang’ pancing yang menarik.

“Industri memancing mempunyai nilai yang agak besar.

“Ia mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai industri pelancongan yang menjana ekonomi negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI