fbpx

Insentif RM250,000 disalur kepada 100 peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EWON (tiga dari kanan) dan Mohd. Salem (dua dari kanan) menyerahkan geran PIUU kepada wakil peniaga pada Program Lawatan Morten Walk di Kampung Morten, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensi UDA Holdings Berhad (UDA) menyalurkan insentif bernilai RM250,000 kepada 100 usahawan di Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini hari ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, insentif itu merupakan program di bawah Program Pembangunan Usahawan UDA (PPUU) untuk meningkatkan bilangan usahawan yang berkelayakan, berdaya maju dan berdaya tahan dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Kementerian menerusi agensi UDA mengambil langah proaktif membangunkan Hab Keusahawanan Morten Walk bagi menyediakan akses pasaran menerusi penyediaan fasiliti di lokasi strategik dan kondusif.

“Selain menawarkan ruang niaga di tengah bandar, UDA turut menyediakan insentif pembiayaan dalam bentuk rebat sewa, kos pengurusan atau manfaat fasiliti yang disalurkan kepada 100 usahawan di hub itu pada hari ini dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program lawatannya ke Morten Walk di Kampung Morten, di sini. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany.

Pada program itu seramai 14 usahawan turut diberikan surat tawaran perniagaan yang dijangka beroperasi pada April ini.

Tambahnya, pengoperasian Hab Keusahawanan Morten Walk juga dianggarkan akan menjana 1,500 peluang pekerjaan termasuklah pekerja untuk penyewa, pembekal dan kontraktor perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan mengangkat golongan usahawan menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM732 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 semalam.

Peruntukan itu merangkumi RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus.

“Sejumlah RM30 juta diperuntukan bagi penyediaan ruang niaga strategik usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penjaja kecil di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub (Hab Keusahawanan) oleh UDA Holdings Berhad, semalam,” katanya.

Sementara itu Mohd. Salem berkata, UDA sentiasa menyokong hasrat kerajaan dan kementerian dalam usaha pemerkasaan golongan usahawan di negara ini.

“UDA komited menggalas tanggungjawab tersebut dengan menyediakan pelbagai insentif di bawah PPUU antaranya Malaysia Entrepreneur Hub, Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre MARI Mart, UDA Craft Corner KIRANA dan UDA Niaga.

“UDA juga berharap pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub ini dapat terus mempergiat aktiviti keusahawanan seterusnya merancakkan lagi sosioekonomi tempatan,” katanya.

Jelasnya, hab itu dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.68 hektar dengan nilai kos pembangunan sebanyak RM8 juta yang terletak di tengah bandar berdekatan dengan tarikan utama seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari.

“Inisiatif ini seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang memfokuskan kepada kelangsungan serta kelestarian dalam kehidupan atau sustainability.”

“UDA merancang untuk membangunkan lebih banyak Hab Keusahawanan di seluruh negara antaranya di Heritage Walk, Jalan Sultan Ismail dan Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur serta di Kuala Terengganu Golf Resort, Terengganu dengan peruntukan pembangunan bagi setiap hab dianggarkan sebanyak RM10 juta,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI