fbpx

Mahkamah: Saksi nafi berpakat dengan Syed Saddiq beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Ulya Aqamah Husamudin menafikan beliau berpakat dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan Ahli Parlimen Muar itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ulya Aqamah selaku saksi pembelaan ketiga juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa beliau akan berbuat apa sahaja untuk membantu bekas Ketua Armada itu yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan wang RM1 juta milik Armada.

Isu tersebut dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang berpendirian bahawa keterangannya di mahkamah hari ini, bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika sesi soal siasat.

Dalam penyataan bertulisnya, Ulya Aqamah, 32, berkata, ketika disiasat SPRM beliau menyatakan Syed Saddiq tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim Razali ketika itu Penolong Bendahari Armada Bersatu mengeluarkan dana Armada sebanyak RM1 juta.

Dalam pernyataan kepada SPRM, Pengarah Levant Industries itu menyatakan beliau tidak mengetahui sama ada Syed Saddiq pernah mengarahkan Rafiq Hakim berbuat demikian, yang mana ia tidak konsisten dengan keterangan kepada mahkamah.

Wan Shaharuddin kemudian menyatakan bahawa Ulya Aqamah berbohong dan beliau boleh didakwa kerana memberikan keterangan yang tidak selari dengan pernyataan yang diberikan kepada SPRM ketika sesi soal siasat.

Ketika ditanya oleh pihak pendakwaan, saksi tidak mengingati sama ada beliau berada di rumah Syed Saddiq sebelum pengeluaran wang RM1 juta dibuat pada 6 Mac 2020.

Sewaktu pemeriksaan semula oleh peguam Tiara Katrina Fuad, saksi menegaskan keterangannya di mahkamah sejak awal konsisten dengan pernyataan yang diberikan kepada SPRM.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan tiga muka surat daripada keseluruhan pernyataan SPRM yang diberikan oleh Ulya Aqamah, sebagai eksibit.

Perbicaraan bersambung 13 Mac ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI