fbpx

Korea Selatan terus catat penurunan kadar kelahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu bapa membawa bayi bersiar-siar di sebuah taman di Seoul pada 13 April 2009. - AFP

SEOUL – Korea Selatan mencatatkan rekod kadar kelahiran paling rendah bagi tahun 2022, kata agensi perangkaan negara itu kelmarin, sambil meluahkan kebimbangan mengenai penurunan tahap kesuburan yang mengancam pertumbuhan ekonomi negara, lapor agensi berita United Press International (UPI). 

Ia dalam masa sama akan menjejaskan program pencen dan kebajikan sosial negara berkenaan pada masa hadapan.

Pada tahun lalu, seramai 249,000 bayi dilahirkan, demikian menurut data sementara yang dikeluarkan oleh Perangkaan Korea, merosot sebanyak 4.4 peratus berbanding 2021. 

Kadar kematian pula mengatasi kelahiran untuk tahun ketiga berturut-turut dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.4 peratus, menjadikannya seramai 372,800 orang meninggal dunia.

Dalam satu taklimat akhbar, Ketua Bahagian Trend Populasi Perangkaan Korea, Lim Young-il berkata, peningkatan jumlah kematian sebahagiannya disebabkan oleh Covid-19.

Namun, katanya, ia juga menggambarkan populasi negara itu yang semakin tua serta merupakan antara yang tertua di dunia.

Selain itu, kadar purata anak bagi setiap seorang wanita Korea Selatan atau kadar kesuburan turun daripada 0.81 pada 2021 kepada 0.78 pada tahun lepas, sekali gus menunjukkan bagi setiap 100 wanita, hanya 78 bayi dijangka dilahirkan sepanjang hayat mereka.

Kadar kesuburan tersebut diramal terus berkurang kepada 0.7 pada 2024 dan mungkin sedikit pulih selepas itu.

Angka itu adalah yang terendah di dunia iaitu kira-kira separuh daripada kadar purata 38 anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Bilangan perkahwinan di negara itu turut berkurang kepada 191,697 bagi tahun lepas yang mana menurut Young-il, ia adalah terendah sejak penyimpanan rekod bermula pada 1970.

“Penurunan jumlah perkahwinan mungkin memberi kesan kepada kadar kelahiran juga,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI