fbpx

Idan, Arnie Shasha ‘harum’kan nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDAN AEDAN dan ARNIE SHASHA.

BERDIRI sebaris bersama pelakon ternama tanah air dalam filem Harum Malam boleh diibaratkan durian runtuh buat dua bintang muda, Idan Aedan dan Arnie Shasha.

Jika dihitung soal pengalaman dan kredibiliti, bukan mudah untuk pucuk hijau mahu menembusi senarai pelakon bagi sebuah karya pengarah ternama se­perti Dain Said.

Biarpun berusia 19 tahun, setiap butiran bicara yang dikongsi oleh pemilik nama penuh Muhammad Shahidan Abdullah itu kedengaran sangat matang.

Seronok bercerita mengenai Harum Malam, Idan membuka rahsia bahawa sudah lama menyimpan mimpi untuk bergandingan dengan hero-hero Malaya pujaan ramai iaitu Bront Palarae dan Remy Ishak.

Masakan tidak, bergandingan dengan Bront merupakan satu impian besarnya sejak bergelar anak seni pada usianya 10 tahun.

“Jika ditanya tentang impian, banyak sangat yang belum tertunai tetapi berlakon bawah arahan Dain Said adalah satu daripadanya.

“Bukan itu sahaja, dapat bekerja dengan abang Bront dan Remy juga cukup membanggakan saya.

DUA pelakon muda, Idan Aedan dan Arnie Shasha selayaknya dipuji untuk persembahan cemerlang dalam filem Harum Malam. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

“Melihat cara mereka bekerja adalah pengalaman hebat dan bukan mudah untuk dapat peluang tersebut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita tentang pengalaman, filem Harum Malam antara filem yang cukup mencabar baginya kerana kekuatan fizikal dan mentalnya cukup teruji dalam membawakan watak bernama Iqbal.

“Sangat mencabar sebab watak Iqbal mempunyai banyak lapisan emosi. Banyak juga emosi tidak terluah yang memerlukan saya menahan kemarahan, bukan mudah untuk diekspresikan dan mental memang penat.

“Saya dan Bront turut terlibat dalam banyak babak pergaduhan. Perkara itu juga menguji kekuatan mental dan fizikal kami.

“Tenaga kami benar-benar diuji ketika penggambaran. Jadi, kerja keras kami terbalas apabila filem ini siap dan ditayangkan,” katanya.

BERAKSI di sini pelakon Bront Palarae dalam Harum Malam menjadi momen paling diimpikan Idan sejak bergelar anak seni pada usia 10 tahun.

Global

Memasuki pasaran global sememang­nya agak sukar bagi seorang anak seni ta­nah air tetapi rezeki Idan dipermudahkan apabila diberi kepercayaan terlibat dalam naskhah bersiri terbitan Netflix, Mr. Midnight ditayangkan pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, drama bersiri tersebut telah pun ditayangkan di seluruh dunia dan mendapat sambutan mengga­lakkan dalam Netflix sehingga berjaya tersenarai sebagai 10 drama popular.

“Ini adalah rezeki saya. Kita ada ramai pelakon berbakat, tetapi peluang itu berpihak kepada saya,” katanya lagi.

Tiada rahsia kejayaan, anak kelahiran Perak itu memberitahu antara faktor kejayaannya adalah semangat dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru meskipun dianggap mustahil oleh orang lain.

“Dapat bekerja dengan produksi luar pada usia yang muda bukan mudah dan saya kutip jutaan pengalaman dari situ.

“Memang pada awalnya ragu-ragu dengan kemampuan diri ketika terima tawaran tersebut, namun akhirnya berjaya disiapkan dengan cemerlang.

“Satu hal yang saya pelajari ialah cari keberanian untuk keluar daripada zon selesa, jangan tunduk dengan pandangan negatif orang lain,” jelasnya.

ARNIE dan Idan mengakui berdepan cabaran mental dan fizikal yang berat sepanjang menjayakan watak masing-masing dalam filem seram karya Dain Said, Harum Malam.

Anak penerbit

Beralih kepada Arnie Shasha, kemun­culan sulungnya dalam filem Harum Malam meraih perhatian ramai apabila mempamerkan lakonan cemerlang walaupun baru pertama kali beraksi depan kamera.

Mengakui tidak menyangka mampu memberi prestasi yang baik dalam Harum Malam, Shasha sebenarnya tidak pernah menyimpan impian untuk menjadi pelakon, apatah lagi menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya masa depan.

“Saya akui tidak mengikuti perkembangan industri seni dan kurang mengenali pelakon atau pengarah tanah air.

“Namun, minat itu kian bercambah selepas terlibat dalam filem ini, semakin jatuh cinta dengan dunia lakonan.

“Tidak menafikan akan mempertimbangkan lakonan sebagai kerjaya utama satu hari nanti,” ujarnya gadis berusia 18 tahun berkenaan.

Teruja dengan reaksi umum terhadap Harum Malam, Arnie harus berdepan dakwaan kononnya terpilih sebagai pelakon menggunakan tiket ibunya sebagai penerbit filem berkenaan.

“Saya tidak kisah dan sudah jangka perkara sebegini akan dibangkitkan.

“Realitinya, saya ditawarkan membintangi Harum Malam selepas menghadiri uji bakat dan turut mengikuti kelas lakonan.

“Kalau benar saya diambil disebabkan tiket anak penerbit, mengapa saya harus menjalani uji bakat?” soal pelakon yang memegang watak Ah Boy dalam Harum Malam itu.

ARNIE SHASHA yang juga atlet lawan pedang negara ini sibuk dengan pemilihan untuk penyertaan ke Sukan SEA ke-32 di Kemboja, Mei nanti.

Sukan

Tutup cerita lakonan dan kembali kepada kerjaya utamanya ketika ini, Arnie Shasha yang merupakan atlet taekwondo kini sibuk dalam persiapan merebut peluang mewakili negara ke Sukan SEA ke-32 di Kemboja yang bakal berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.

Tuturnya, dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi tersebut sehingga perlu menangguh seketika sebarang penglibatan dalam dunia seni.

“Jika layak, saya akan berikan tumpuan kepada Sukan SEA. sekiranya tiada rezeki untuk terpilih, mungkin akan terus mencari peluang dalam bidang lakonan.

“Sekiranya diberi pilihan antara lakonan dan sukan, taekwondo tetap jadi nombor satu,” katanya yang sudah mula menceburkan diri dalam sukan tersebut sejak di bangku sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI