fbpx

Nabil Jeffri dorong saya jadi lebih baik – Raysha Rizrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Raysha bersama Nabil selepas melangsungkan pernikahan malam tadi.

PETALING JAYA – Sikap positif dan suntikan semangat sejak sedekad menyulam cinta meneguhkan keyakinan pelakon Raysha Rizrose memilih pelumba Formula 2 (F2), Muhammad Nabil Jan Al Jeffri sebagai pasangan hidupnya.

Katanya, sikap positif lelaki yang dikenali sejak zaman persekolahan itu menjadi sumber inspirasi dalam melengkapi kehidupan peribadi serta kerjaya seninya.

“Kehadiran Nabil bagai pelengkap segala-galanya dalam hidup saya yang ditunjukkan menerusi keperibadiannya.

“Selama ini dia sentiasa menjadi inspirasi hidup saya supaya terus bersemangat dalam mengejar impian.

“Dia mendorong saya menjadi individu yang lebih baik,” katanya Raysha tentang lelaki yang kini bergelar suaminya.

Malam tadi, pelakon filem Seandainya Kau Ada itu sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta F2 itu selepas dua bulan mengikat pertunangan.

Dihadiri sekitar 200 tetamu, kedua-dua figura popular itu juga bakal diraikan dalam majlis persandingan di hotel sama pada Ahad ini.

Sementara itu, Nabil pula melihat adik kepada Uqasha dan Nelydia Senrose itu sebagai insan yang teguh berada di sisi pada saat susah dan senang.

Akui lelaki berusia 29 tahun itu, kematangan Raysha yang pandai mengambil hati dan bijak membawa diri menguatkan lagi tekad menyunting wanita itu sebagai suri.

“Raysha sentiasa ada ketika saya memerlukannya tidak kira saat berada pada tahap paling bawah atau sedih, dia yang tak pernah berpaling daripada saya.

“Kebijaksanaannya juga menambat hati, memahami dan matang. Kualiti lain yang mencuri perhatian apabila dia pandai membawa diri, sentiasa santun dan menghormati orang.

“Tentunya dia sangat comel dan itu yang buat saya jatuh hati selain jujur serta ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan,” katanya.

Tambah Nabil, sebagai pelumba kereta yang sarat jadual latihan dan perlumbaan, mempunyai teman hidup yang memahami seperti Raysha sememangnya sangat dihargai.

“Ada ketika saya perlu berada di luar negara kerana urusan kerja tetapi dia umpama begitu dekat dengan diri ini apabila terus menyokong dari jauh.

“Syukur, jodoh dan cinta kami mekar serta erat sejak 10 tahun lalu hingga ke saat ini. Semoga hubungan ini kekal ke jannah,” katanya.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd Fariz mendedahkan hubungan mereka terjalin sejak 2013 yang bermula menerusi Twitter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI