fbpx

LRT Sentul Timur, Bandaraya beroperasi dengan kekerapan 12 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit aliran ringan (LRT) di antara stesen Sentul Timur dan stesen Bandaraya kini beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit ekoran beberapa tren yang terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapidrail) dalam kenyataan hari ini berkata, sejak 27 Januari lalu, sebanyak lima buah tren digunakan di antara stesen-stesen tersebut.

Katanya, ia disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya, tren berkenaan tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Tiga daripada lima buah tren tersebut terpaksa dikeluarkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria operasi. Kini, jumlah tren yang dapat beroperasi adalah sebanyak dua buah tren sahaja,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, bagi menampung dan mengendalikan penumpang-penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang ini .

“Sepuluh buah bas akan digunakan bagi perkhidmatan ini. Perkhidmatan bas perantara LRT11 ini akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya.

“Perjalanan sehala menaiki bas perantara dari Sentul Timur ke Bandaraya dijangka mengambil masa selama 30 minit,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, bagi mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform, anggota operasi rel, anggota Polis Bantuan dan Troopers akan ditempatkan di stesen-stesen yang terlibat.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh para penumpang dan memohon maaf di atas segala kesulitan. Kesabaran para penumpang amat kami hargai,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI