fbpx

Kekosongan luar jangka, tiada PRK Batang Kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dalam masa terdekat susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim melalui surat pada 21 Februari 2023 berhubung status kekosongan luar jangka itu.

“Ia selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Berdasarkan kepada Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5), Speaker Dewan Negeri telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Selaras dengan itu, jelasnya, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Negeri Batang Kali akan dijalankan.

Sebelum ini, DUN Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali berikutan wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar (Pejuang) gagal hadir tanpa kebenaran semasa persidangan dewan melebihi enam bulan iaitu sejak 28 Julai tahun lalu.

Suee Lim berkata, pengisytiharan itu mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Tahun lalu, DUN Selangor bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

“Penyata Rasmi dan Buku Kedatangan Ahli DUN Selangor menunjukkan ADUN Batang Kali didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker DUN Selangor pada keseluruhan persidangan dewan dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

“Tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan Pejabat Speaker yang menunjukkan Yang Berhormat memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI