SERING diasak persoalan tentang perancangan menamatkan zaman solo, jelitawan bernama Azira Shafinaz itu sebenarnya sudah cukup bersedia dengan jawapan yang melegakan banyak pihak.
Dia sudah lali, kental dan cukup tenang. Selagi tidak mendirikan rumah tangga, selagi belum ada persiapan perkahwinan, selagi itulah dia akan dihambat pertanyaan mengenai giliran naik pelamin.
Cuma kali ini, segalanya tampak berbeza apabila anggota kumpulan DeFam itu mengakui sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan, tinggal lagi masih menunggu masa yang sesuai.
Di hati pemilik nama lengkap Azira Shafinaz Ramlan itu juga sudah bertakhta nama seorang lelaki yang sedang dikenali hati budinya.
Bahagia menyulam kasih, mereka juga sudah merancang untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan.

Kekasih baharu
“Soal hubungan dengan seseorang, sebenarnya kami baharu sahaja kenal. Saya tertarik dengan sifatnya yang jujur dan keluarga saya pun suka.
“Apa yang penting pasangan saya bukan dalam industri hiburan dan kami sudah ada perancangan untuk berkahwin.
“Saya pula jenis senang untuk dibeli jiwa kerana sangat lembut. Jadi, kalau pandai jaga hati mesti okey sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Terbuka dalam berahsia, Azira bagaimanapun menyimpan seketika identiti pasangannya sebelum mereka mempunyai ikatan yang sah.
“Kalau tunjuk orang akan sering bertanya bila saya ingin melangkah ke alam perkahwinan.
“Jika bukan dengan orang yang awalnya, orang akan fikir saya sering bertukar-tukar pasangan.
“Apabila sudah sah sudah bertunang atau mahu berkahwin baru saya akan cakap,” tutur pelantun lagu Panas itu.

Trauma
Menurut anggota kumpulan De Fam itu juga, usia yang semakin meningkat menjadikan dirinya untuk bersedia bergelar isteri.
“Sebenarnya saya sudah bersedia. Umur saya pula sudah memasuki 32 tahun tetapi perancangan untuk benar-benar menamatkan zaman bujang belum ada,” katanya yang tidak menidakkan impian berumah tangga.
Tambahnya: “Sejujurnya memang ada impian untuk berkahwin tetapi hanya percaya pada masa dan jodoh yang Allah tentukan.
“Dahulu saya sering patah hati kerana cinta monyet dan disebabkan kejadian tersebut membuatkan saya jadi trauma.
“Saya tidak mahu kongsi perkara lalu kerana saya hanya mahu fokus pada masa depan memandangkan sekarang sedang berkawan dengan ramai orang.”

Anak
Enggan terlalu banyak bercerita Azira hanya mengharapkan doa yang baik-baik agar jodohnya tidak liat.
“Saya sangat sibuk sehingga tidak terfikir untuk melangkah ke alam seterusnya. Doakan sahaja agar saya dijodohkan dengan cepat,” ujar.
Berkongsi lanjut, penyanyi juga pelakon itu agak cemburu apabila melihat teman sebaya sudah memiliki cahaya mata.
“Orang selalu cakap jangan fikir mengenai kahwin tetapi saya teringin mahu ada keluarga sendiri.
“Insya-Allah suatu hari nanti saya dapat merasa ada keluarga dan rumah sendiri,” ujar pelakon filem Penunggang Agama itu.
Ditebak mengenai ciri lelaki sebagai calon suami, dia tidak terlalu, asalkan bertemu pasangan yang mampu menjaganya sebaik mungkin.
“Bagi saya, tiada kriteria atau ciri-ciri tertentu. Saya cuma mahukan pasangan yang boleh terima baik buruk saya dan keluarga.
“Saya juga mahu orang yang boleh menjaga dan membimbing saya menjadi lebih baik.
“Semestinya semua orang idamkan perkara sama seperti saya,” tutupnya.
















