KOTA TINGGI – Bapa kanak-kanak lelaki yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 57.2, Lebuh Raya Senai Desaru, Bandar Penawar semalam memohon bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman bukti kejadian agar tampil ke balai polis.
Istamuel Amir Hamzah, 30, berkata, kejadian itu meragut nyawa anak kesayangannya, Gibran Alfarizqi, 3, manakala isterinya, Farida Kurnianingsih, 36, kritikal.
Katanya, ketika kejadian, dia sempat melihat sebuah kenderaan cuba memotong sebelum terbabas melanggar kenderaannya dan beberapa kereta lain.
“Pada 19 Februari, lebih kurang pukul 3.30 hingga 4.30 petang, kami sekeluarga terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Senai-Desaru menghala ke Pasir Gudang. Saya telah kehilangan anak yang saya cintai dan isteri saya kritikal patah di pelbagai anggota badan.
“Sebelum kemalangan, saya lihat sebuah kenderaan berwarna hitam gelap potong terlalu rapat dengan kereta dari arah bertentangan sehingga mereka elak dan terbabas langgar (kereta) saya dan kereta di belakang.
Berita berkaitan: Kanak-kanak lelaki maut, 12 cedera kemalangan lima kenderaan
“Saya mohon bantuan jika ada sesiapa yang ada rakaman atau lain-lain bukti untuk tampil kepada saya atau Balai Trafik Kota Tinggi,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Melalui perkongsian sama, Istamuel Amir turut berharap individu yang menjadi punca kemalangan itu akan bertanggungjawab dengan apa berlaku.
“Lihatlah anak saya, masih kecil masih belum sempat mengenal dunia. Terlalu singkat waktu bersama ibu bapanya. Terlalu singkat gelak tawa, tangisan dan permintaan dari dia. Tetapi disebabkan kecuaian dan kelalaian seseorang, dia pergi meninggalkan kami. Harta, wang ringgit semua boleh diganti tapi, anak saya satu-satunya anak saya, tiada gantinya.
“Awak merampas hidup anak saya. Saya harap awak yang menyebabkan kemalangan ini sedar, bertanggungjawab. Lihatlah anak saya yang tak ternilai.
“Dia cakap “Gibran happy (seronok) main pantai dengan mama, papa”. Saat-saat ini, dah tak mungkin kembali ke kami,” katanya lagi yang turut berkongsi foto anaknya bermain di pantai. – KOSMO! ONLINE














