fbpx
TREND untuk memiliki telefon pintar berjenama kini telah menguasai orang muda. – GAMBAR HIASAN

Gila beli telefon mahal sampai berhutang, ikat perut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Terlalu taksub untuk menunjukkan kemewahan dan mahu dipandang hebat oleh rakan-rakan menjadi antara punca orang ramai sanggup berhutang semata-mata untuk memiliki telefon pintar berjenama yang mencecah harga RM7,000 seunit.

Paling menyedihkan apabila majoriti daripada golongan ini adalah remaja dari keluarga B40 selain pelajar institusi pengajian tinggi yang masih bergantung kepada pembiayaan pelajaran daripada kerajaan.

Tanpa rasa bimbang, golongan ini yang rata-ratanya berusia awal 20-an sanggup berhutang dan menanggung kadar faedah pinjaman yang tinggi semata-mata untuk memiliki telefon pintar terkini termasuk daripada jenama popular.

Seorang pegawai di sebuah institusi kewangan tempatan dikenali sebagai Fatimah, 25, berkata, pihaknya memang menyediakan khidmat pinjaman peribadi dan kad kredit kepada orang ramai dan rata-rata peminjam adalah mereka yang ingin membeli telefon pintar model terbaharu.

Katanya, kebanyakan daripada peminjam ini hanya mempu­nyai pendapatan bulanan sekitar RM2,000 selain masih belajar di universiti.

“Mereka yang berumur awal 40-an pun ada yang meminjam, namun paling ramai adalah golongan belia. Walaupun golo­ngan ini tahu ‘interest’ pinjaman sangat tinggi, namun mereka tidak kisah dan tetap mahu mendapatkan telefon idaman.

“Dengan gaji sekitar RM1,800 ke RM2,000, ia memang merisikokan peminjam berkenaan. Jika melihat statistik, jumlah mereka yang berhutang untuk membeli televisyen serta peti sejuk tak banyak pun seperti mana telefon pintar,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Fatimah, masalah timbul apabila golongan ini sukar untuk membayar balik pinjaman yang dibuat, sehingga memaksa mereka mencari alternatif lain.

Untuk rekod katanya, syarikat tempat dia bekerja merekodkan sebanyak RM1.05 juta bil kutipan bulanan untuk kategori telefon, manakala 80 peratus daripada jumlah tersebut merupakan pinjaman untuk pembelian telefon pintar yang berharga RM3,000 ke atas.

“Majoriti yang meminjam memang mahu membeli iPhone. Macam sekarang, ramai pinjam untuk beli iPhone 13 Pro Max dan iPhone 14 Pro Max berharga lebih kurang RM5,000 ke RM7,000,” tambahnya.

Katanya, peminjam bagi ka­tegori telefon pintar berharga di bawah RM3,000 tidak ramai, namun kebanyakan mereka tidak mempunyai masalah untuk membuat pembayaran balik.

“Golongan ini lebih utamakan keperluan dan hanya beli telefon berdasarkan jumlah gaji. Sebab itu mereka tiada masalah untuk buat bayaran. Kalau ada, jumlahnya sangat kecil,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata golongan belia yang ditemui mengakui telefon bimbit kini sudah menjadi satu keperluan selain ‘tanda aras’ kemewahan dan status seseorang.

Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan belia terutama pelajar di institut pengajian tinggi sanggup menggunakan wang pinjaman pelajaran demi memiliki te­lefon pintar berjenama yang mencecah harga ribuan ringgit.

Pelajar di sebuah institut pengajian tinggi di Lembah Klang dikenali sebagai Amin, 21 tahun, mendedahkan, dia terpaksa membeli telefon berjenama menggunakan wang pinjaman pelajaran bagi mengelakkan rasa rendah diri ketika berada bersama teman-teman sekuliah.

“Saya beli sebab kawan-kawan saya hampir semua anak orang kaya dan sudah pasti gajet mereka lebih berjenama dan mahal.

“Saya rasa sangat rendah diri kerana telefon saya biasa sahaja dan murah sampaikan ada pe­rasaan malu untuk menggunakannya ketika bersama mereka.

“Saya beli telefon berjenama menggunakan duit pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sebab orang tua memang tidak mampu.

“Jujur cakap, sekarang ini saya dah tak rasa rendah diri bila bersama kawan-kawan. Cumanya, saya perlu ‘ikat perut’ dan bayaran yuran terpaksa mengharap­kan bantuan keluarga di kampung,” katanya.

Pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta, Yazid, 36, pula mengakui terpengaruh dengan trend memiliki telefon bimbit jenama mewah kerana sering diperli teman sekerja.

“Sebelum ini saya pakai te­lefon pintar biasa, tapi tak tahan jadi bahan ejekan rakan-rakan.

“Atas sebab itu saya sanggup keluarkan duit simpanan seba­nyak RM5,000 semata-mata untuk membeli sebuah telefon pintar berjenama,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN