fbpx
NATASHA CHARMAINE

Natasha Charmaine enggan jadi ‘arkib’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POPULARITI dan perhatian bukan satu hal yang mudah untuk didakap oleh mana-mana anak seni. Jika terdesak, jalan sensasi yang menjadi pilihan peledak nama, sekali gus meninggalkan ingatan untuk dikenali ramai.

Namun, bagi pemilik nama penuh Natasha Charmaine Rickson, lingkaran sensasi, batu kontroversi mahupun gosip murahan bukan caranya untuk bakat dimiliki menjadi perhatian.

Akuinya, ada tertoreh rasa rasa kecewa dalam jiwanya selain sering tertanya sendiri, mengapa bakatnya masih sukar dilihat penggiat drama mahupun filem tanah air.

Adakalanya, dia terfikir, adakah bakatnya tidak cukup bagus atau wajahnya tidak cantik untuk dikomersialkan.

Banyak persoalan yang berlegar dalam fikirannya apatah lagi sudah lebih satu dekad bergelar anak seni iaitu sejak tahun 2010.

MAHU meneroka kemampuan diri, Natasha memasang impian ingin melebarkan sayap kerjaya sebagai pelakon di Indonesia.

Putus asa

“Kadang-kadang memang rasa putus asa dan kecewa dengan industri seni tanah air sebab mengapa bakat saya masih belum terlihat sepenuhnya.

“Saya mahu terbang lebih jauh supaya orang ramai boleh melihat kemampuan bakat yang dimiliki. Saya tidak faham Malaysia nak lihat pelakon yang bagaimana?” ujar Natasha yang turut bergelar penerbit filem 7 Minggu Sebelum Kahwin itu.

Bukan sahaja putus asa, wanita berketurunan Iban dan Bidayuh itu meluah rasa terkilan kerana bakat dimilikinya masih kurang diberikan perhatian.

“Tipulah cakap saya tidak kecewa sebab orang masih tidak melihat bakat saya. Jika orang cakap saya cantik tetapi tiada bakat, macam menipu juga.

“Sekiranya orang cakap cantik dan pandai berlakon, mengapa tidak beri tawaran kepada saya?

“Saya nak dikenali bukannya jadi bahan arkib dalam industri ini,” katanya yang mahu mencuba serta meneroka pelbagai peluang baharu di luar sana.

SEPERTI menjadi diri sendiri, Natasha tidak kekok melakonkan watak sebagai wanita mualaf dalam filem Imam.

Imam

Lama memendam rasa, lebih 10 tahun bergelar pelakon, Natasha kini dalam debaran menantikan filem pertama lakonannya, Imam bakal masuk panggung 2 Mac depan.

“Selepas lebih 10 tahun akhirnya saya muncul dengan filem pertama. Paling bangga pastinya dapat bergandingan dengan Datuk M.Nasir sebagai isterinya dalam naskhah tersebut, agak gementar tetapi berjalan dengan lancar.

“Selain itu, berlakon dengan barisan pelakon hebat lain seperti Vanidah Imran dan Faizal Hussein pun memang seronok.

“Mereka tak buat saya rasa terasing pun di set penggambaran,” jelasnya yang memegang watak bernama Siti Nur Aisyah.

Tidak sabar menanti maklum balas orang ramai, Natasha berharap penonton menerima baik mutu lakonannya dalam filem tersebut selain peluang menyinar dalam kalangan peminat sinema tanah air.

“Harap filem ini mengangkat nama dan bakat dimiliki ini ke peringkat lebih tinggi.

“Saya percaya setiap naskhah membawa saya ke satu pendedahan dan sasaran penonton berbeza.

“Sekurang-kurangnya orang nampak sisi berbeza saya dengan membawa watak lebih islamik,” jelasnya.

SELAIN berpeluang bergandingan dengan M. Nasir, filem Imam turut membuka ruang Natasha bekerja dengan nama-nama besar lain sepeti Faizal Hussein.
– FARIZWAN HASBULLAH

Orang ketiga?

Kurang lengkap cerita sekiranya tidak menyelit pandangannya mengenai isu orang ketiga yang kini menjadi barah dalam dunia seni tanah air.

Terbuka memberi pendapat, Natasha menyifatkan kemelut rumah tangga tidak perlu diperhebah kepada umum kerana boleh mengundang jutaan spekulasi lain.

“Jika sudah berada dalam industri yang penuh pancaroba ini, pasangan perlu saling mempercayai, jika tidak jangan terlibat dalam dunia seni.

“Isu penyondol sebenarnya perkara normal dalam dunia hiburan. Walau bukan pelakon pun, memang wujud ‘kaum’ dan kisah sebegitu di luar sana.

“Isu sebegini sebenarnya boleh diselesaikan tanpa melibatkan orang ramai dan harus matang dalam menyelesaikan masalah begini selain menjadi cerita murahan bila melibatkan orang awam,” tuturnya.

Ditanya sekiranya hal sama berlaku melanda rumah tangganya, jawapannya hanya perlu bersangka baik dan yakin dengan pasangan.

“Benda ini tak boleh jangka tambahan lagi perlu risau suami saya didekati wanita lain walaupun dia bukan seorang artis.

“Tipulah tak cemburu jika suami didekati mana-mana wanita lain tetapi semuanya perlu berbalik kepada kepercayaan.

“Mudah cakap, jika sedar sudah berstatus suami atau isteri, wujudkan satu limitasi dalam hubungan persahabatan dengan berlainan jantina,” katanya seraya menutup perbualan.

TIDAK meletakkan sasaran, namun seperti wanita lain yang sudah berumah tangga, Natasha juga inginkan cahaya mata.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN