PETALING JAYA – Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) perlu dipegang oleh ibu bapa berbanding anak-anak supaya tidak disalahgunakan.
Pakar dan perunding kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, dengan wang tersebut, ibu bapa boleh membuat senarai barang sekolah lebih awal supaya penggunaannya jelas disalurkan ke tempat sepatutnya.
“Ibu bapa lebih layak pegang wang bantuan tersebut kerana kebanyakan anak-anak tidak pandai menguruskan wang sebaiknya.
“Tetapi ada kes pelajar kematian ibu bapa dan yang datang daripada keluarga bermasalah, mereka lebih berhak mendapat wang tersebut berbanding ibu bapa.
“Itu pihak sekolah perlu membuat siasatan lanjut dengan pergi ke rumah-rumah pelajar terbabit dan temu bual ibu bapa mereka. Masa itu, baru tahu siapa yang lagi berhak dapat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Shamsuddin, jika bantuan tersebut datang dalam bentuk baucar, ia boleh dipertimbangkan untuk diberi kepada anak-anak.
Katanya, masalah salah guna bantuan juga dapat dielakkan kerana baucar diberi telah pun bersasar untuk pembelian barang keperluan sekolah.
Dalam pada itu, tegas Shamsuddin, ibu bapa perlu merancang dengan sebaiknya kerana wang tersebut diberikan awal Januari lepas walaupun sesi persekolahan bermula pada Mac ini.
Jelasnya, ibu bapa boleh berikan secara ansuran seperti asingkan RM50 dan berikan RM5 selama 10 bulan dalam bentuk wang tunai ataupun pemindahan wang ke dalam akaun bank.
“Kebanyakan masyarakat kita masih kurang berdisiplin dari segi pengurusan kewangan. Bila pemberian wang terlalu awal, selalunya habis begitu sahaja tanpa ketahui ke mana pergi duit tersebut.
“Sebab itu bila dapat wang bantuan, segera beli barang keperluan sekolah. Jangan tunggu last minute, sebab stok pun makin habis, sudahnya kena beli barangan berjenama yang mahal.
“Kalau tiada masa untuk beli dahulu, simpan wang bantuan tersebut dalam satu akaun kecemasan lain yang memang tidak digunakan atau masuk ke dalam tabung simpanan anak-anak,” ujarnya.














