MELAKA – Beberapa pelanggan yang menginap di hotel di negeri ini mendakwa, mereka melalui pengalaman menyeramkan apabila diganggu entiti atau hantu yang mengakibatkan mereka ketakutan kerana tidak tahan diusik.
Di sebalik pengalaman mendebarkan itu, mereka bernasib baik apabila wang pendahuluan dan kos penginapan yang telah dibayar kepada hotel berkenaan dikembalikan selepas berjaya membuktikan bahawa gangguan itu wujud seperti didakwa.
Seorang pelanggan yang dikenali sebagai Lidiana, 38, berkongsi pengalaman seramnya ketika menginap di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di sini tahun lalu.
Katanya, dia memperoleh semula wang yang dibayar sebanyak RM160 bagi tempoh penginapan selama dua malam selepas diganggu.
“Saya bersama rakan dari Kuching, Sarawak datang ke Melaka untuk bercuti dan kami telah menempah hotel di kawasan bandar secara online.
“Pada malam pertama, saya mula diganggu sekitar pukul 2 pagi apabila langsir bilik tiba-tiba bergerak sendiri dan semakin seram apabila suiz lampu tidur di meja sebelah katil dipetik berulang kali dengan sendiri menyebabkan lampu terpasang dan tutup,” katanya.
Menurut pemilik pusat kecantikan itu, dalam takut-takut berani, dia terus turun memanggil kaki-tangan hotel untuk memeriksa keadaan dan turut menyaksikan kejadian misteri tersebut sebaik tiba di bilik.
Tam-bahnya, staf itu turut ketakutan dan cemas serta bersetuju memulangkan semula kos penginapan yang telah dibayar selain meminta maaf di atas apa yang berlaku selepas memaklumkan kepada majikannya.
“Pihak hotel mengakui bilik itu sebenarnya berhantu tetapi terpaksa dibuka kepada pelanggan kerana bilik lain sudah habis ditempah pelanggan,” katanya.
Penyelia eksekutif di sebuah hotel yang ingin dikenali sebagai Wan, 33, berkata, berdasarkan pengalamannya selama 13 tahun, kebanyakan hotel pernah berdepan dengan kes sama.
“Tidak semua, tetapi memang ada hotel yang mempunyai bilik ‘keras’ dan mengganggu pelanggan kami sehingga mereka meminta dipulangkan wang tempahan, namun proses itu sukar dilakukan kerana mereka tiada bukti.
“Pekerja hotel biasanya memang faham dengan situasi seram itu kerana rata-rata pernah mengalaminya sendiri, namun perkara ini tidak diperkatakan secara terbuka kerana perlu menjaga imej hotel,” katanya yang pernah berkhidmat di lapan buah hotel di sekitar bandar Melaka.
Jelasnya, kebanyakan hotel juga kebiasaannya ada melakukan upacara termasuk bacaan surah Yasin sebagai ikhtiar supaya benda-benda ghaib itu tidak mengganggu pelanggan.
Seorang lagi pelanggan dikenali sebagai Deano, 39, turut berkongsi pengalaman sama ketika menginap di sebuah resort di sini beberapa bulan lalu hingga mengakibatkan pemilik memulangkan wang penginapan sebanyak RM400.
“Saya pergi ke situ bersama abang saudara bagi menghadiri satu majlis. Sebaik tiba, kami diberikan bilik lain atas alasan bilik yang kami tempah sedang dibersihkan.
“Bagaimanapun, sebaik melangkah masuk, saya rasa lain macam kerana suasana bilik suram selain ada bau busuk seperti bangkai. Tak lama kemudian kami dipindahkan ke bilik asal.
“Di bilik itu juga, saya diganggu dengan kemunculan kelibat budak dan lembaga hitam melintas depan katil. Dalam berdebar, saya sempat menjengah ke luar tingkap dan nampak sebuah keluarga tergesa-gesa meninggalkan bilik dan bergegas naik kereta,” katanya.
Ujar Deano, abang saudaranya yang menyedari kejadian itu bergegas ke kaunter penyambut tetamu dan kakitangan hotel mengatakan situasi itu sering berlaku dan mereka terus menempah hotel lain yang dekat secara percuma.
Katanya, selepas kejadian itu, dia terus membaca ulasan pelanggan lain mengenai resort tersebut dan ramai menceritakan pengalaman sama.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Khairulnizam Kasim berkata, polisi pemulangan wang tempahan akibat perkara mistik hanya boleh dilakukan sekiranya ada bukti.
Bagaimanapun, katanya, kes tersebut adalah terpencil kerana kebiasaannya pihak pengurusan akan mengambil langkah alternatif iaitu memindahkan pelanggan ke bilik lain atau menaik taraf jenis bilik untuk lebih selesa.
“Pemulangan wang tempahan ini boleh dilakukan sekiranya ia melibatkan kelemahan fasiliti daripada pihak hotel misalnya gas penyaman udara habis atau kunci bilik tidak berfungsi dengan baik.
“Bagaimanapun, kaedah ini sangat jarang digunakan kerana pihak hotel biasanya akan mengambil langkah memindahkan pelanggan ke bilik yang lebih selesa,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kes-kes pemulangan semula wang tempahan disebabkan pelanggan ‘diganggu’, perkara itu tidak pernah berlaku melibatkan hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas.
“Di bawah persatuan ini terdapat 74 buah hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas di Melaka dan 973 hotel di seluruh negara, setakat ini memang saya tidak pernah dengar lagi mana-mana pemilik hotel terpaksa memulangkan semula wang tempahan pelanggan disebabkan kes ini (diganggu makhluk halus).
“Perkara ini susah untuk dibuktikan oleh pelanggan, malah pada hari ini pelbagai jenis aplikasi canggih dapat menghasilkan visual seram,” katanya.















