PETALING JAYA – Di sebalik segelintir ibu bapa yang menggunakan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk keperluan hidup seharian, masih ramai yang benar-benar memanfaatkannya untuk keperluan persekolahan anak-anak.
Rata-rata ibu bapa atau penjaga yang ditemui memberitahu, mereka menggunakan sebahagian wang tersebut untuk menggantikan buku teks yang rosak, selain ada juga yang membuat tabungan untuk anak daripada lebihan wang itu.
Di Kuala Terengganu, sebahagian ibu bapa mengakui menggunakan sebahagian wang BAP bagi membeli buku teks anak-anak yang rosak sebagai ganti kepada pihak sekolah.
Seorang ibu, Siti Nurul Aisyah Jamil, 39, dia menggunakan lebih RM100 wang BAP untuk menggantikan sebahagian buku teks tiga anaknya yang rosak.
“Baki hampir RM300 yang masih tinggal digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah mereka,” ujarnya.
Hal sama dilakukan ibu bapa di George Town, Pulau Pinang yang menggunakan wang bantuan tersebut untuk menggantikan buku teks yang rosak.
Seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta, Diayana Ramli, 45, memberitahu, sebahagian wang BAP yang diterima tiga anaknya berjumlah RM450 dibelanjakan untuk menggantikan buku-buku teks rosak.
“Keadaan buku teks anak-anak yang diterima tahun lalu memang ada yang dalam keadaan hampir rosak dengan banyak helaian koyak dan ada yang ditampal semula oleh peminjam lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, di Shah Alam, Selangor, wang BAP digunakan secara cermat termasuk membuat penabungan untuk masa depan anak.
Seorang pegawai bank, Noor Halimah Zakaria, 33, berkata, dia membelanjakan RM80 bagi pembelian keperluan persekolahan termasuk dua pasang baju sekolah bagi anak tunggalnya, Noor Saleha Mohd. Amir, 8.
“Baki wang BAP itu, saya masukkan dalam akaun bank anak demi pada masa depannya,” katanya.
Lain pula halnya di Bera, Pahang, ibu bapa yang bimbang wang BAP habis digunakan untuk keperluan peribadi, mengambil pendekatan menangguhkan pengambilan wang itu di sekolah anaknya.
Seorang penjaga, Ahmad Faizal Yusof, 43, berkata, dia baru mengambil wang itu beberapa hari lalu bagi membeli keperluan sekolah.
Sementara itu, di Alor Setar, Kedah, ibu bapa menggunakan wang itu untuk membeli beg sekolah berjenama untuk anak.
Seorang peniaga, Shuhaida Abd. Razak, 42, berkata, dia memberi kebebasan kepada anaknya menggunakan wang BAP, namun perlu membeli barang bagi kegunaan sekolah.
“Anak beli beg sekolah jenama terkenal pada harga RM100 dan bakinya digunakan untuk membeli kasut sekolah,” katanya.














