SORAKAN peminat bergema di seluruh pawagam saat rentak rancak muzik lagu berjudul Mic Drop membuka tirai persembahan konsert BTS Yet To Come in Busan.
Kemunculan tujuh jejaka bernama Kim Namjoon (RM), Kim Seok Jin (Jin), Min Yoongi (Suga), Jung Ho Seok (J-Hope), Kim Taehyung (V) dan Jeon Jungkook (Jung Kook) di atas pentas menambahkan lagi kemeriahan sorakan tersebut.
Biarpun konsert berlaku dalam bentuk filem dan bukan dalam masa sebenar, keterujaan jelas terlakar di wajah peminat sama seperti keterujaan yang biasa dilihat ketika berada di dalam konsert fizikal.
Filem berdurasi satu jam 50 minit itu menayangkan konsert kumpulan BTS bertajuk Yet to Come in Busan yang diadakan secara percuma di Korea Selatan pada Oktober tahun lalu.
Aura The Bangtan Boys itu bukan sahaja melanda panggung wayang Malaysia, malah turut menghipnosis pawagam-pawagam di lebih 110 negara di seluruh dunia mulai 1 Februari lalu sehingga tempoh masa yang terhad.
Di Malaysia, peminat boleh memilih untuk mengalami pengalaman unik tersebut sama ada dalam format 2D, 4DX, 4DX Screen dan ScreenX.
Di bangku penonton, kelihatan peminat BTS yang terkenal dengan gelaran ARMY memakai pakaian berwarna ungu sambil memegang lightstick atau dipanggil ARMY Bomb.
Ini merupakan kali pertama peminat dibenarkan membawa lightstick yang merupakan bahagian penting dalam mana-mana pengalaman konsert K-Pop.
Lebih menambahkan lagi suasana bak konsert fizikal, sesetengah peminat menyediakan barangan percuma atau freebies seperti kain rentang, gambar poskad dan pinback buttons.

Kelonggaran tersebut menandakan satu lagi perubahan baharu berlaku dalam industri muzik yang mana konsert bukan saja boleh dilakukan secara fizikal atau dalam talian, malah boleh dilakukan dalam bukan masa sebenar.
Bukan itu sahaja, perubahan turut berlaku bagi suasana pawagam kerana buat kali pertama, penonton dibenarkan melakukan rakaman semasa tayangan filem konsert itu berlangsung.
Memang boleh dikatakan sudah terdapat filem-filem konsert sebelum ini misalnya Michael Jackson: This Is It atau One Direction: This is US yang cenderung berbentuk dokumentari di sebalik tabir, namun filem BTS ini adalah babak konsert itu sendiri.
Pentadbir kelab peminat, Malaysia BTS ARMY, Fifi Azmi, 33, mendedahkan bahawa pihaknya telah memulakan perancangan untuk melakukan acara tayangan secara tertutup (private screening) sebaik sahaja pengumuman dibuat oleh pihak panggung berkenaan dengan tarikh tayangan konsert tersebut.
Kelab tidak rasmi yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu tidak asing dengan penganjuran aktiviti sesama peminat setelah biasa menganjurkan aktiviti seperti sambutan sempena hari lahir, pencapaian artis dan lain-lain.
Memilih perkhidmatan Indulge TGV di 1 Utama, Bandar Utama, Selangor, ARMY yang hadir dapat merasai pengalaman ‘konsert jarak jauh’ serba mewah yang dilengkapi kerusi bersandar dan selimut.

“Pengalaman menonton konsert dalam pawagam jenis ini memberikan rasa seperti berada di kerusi VIP dari segi keselesaan, ruang privasi dan keselesaan.
“Kami turut sempat beri freebies kepada ARMY yang hadir serta adakan cabutan bertuah dan pertandingan pakaian terbaik. Ini satu kelebihan konsert jarak jauh yang mana ARMY dapat berkumpul dan buat aktiviti bersama,” ujarnya.
Menurut pelajar pascasiswazah PhD jurusan sains bioperubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia tersebut, minatnya terhadap BTS bermula sejak diperkenalkan dengan lagu berjudul I Need You oleh rakannya.
Tambahnya, stereotaip ARMY sebagai sekumpulan remaja yang tidak matang dan taasub dengan ahli BTS adalah satu pandangan yang prejudis.
Ini kerana, kumpulan peminat BTS terdiri daripada individu pelbagai latar belakang termasuk bangsa, status akademik, karier dan juga usia.
“Peminat BTS bukan saja setakat golongan remaja, malah ada juga peminat berusia 40 dan 50 tahun sertai aktiviti kelab peminat kami.
“Biarpun segelintir mungkin buat onar, namun tidak adil untuk melabelkan semua peminat dalam kategori sama. Lebih-lebih lagi elemen paling penting untuk meminati seseorang selebriti adalah bakat dan tingkah laku mereka.
“Itu antara sebab kenapa kami sering menganjurkan aktiviti peminat seperti ini. Untuk membuktikan bahawa peminat-peminat BTS sebenarnya datang daripada pelbagai latar belakang yang meminati kumpulan muzik yang sama,” tuturnya yang memilih V sebagai bias (ahli kegemaran).

Sebelum ini, filem konsert di pawagam sering kali memaparkan dokumentari di sebalik tabir sesebuah konsert dan bukannya tayangan penuh konsert sebenar.
Namun, sejak melandanya pandemik Covid-19 yang memerlukan sekatan perjalanan dan penjagaan jarak, sebilangan artis dan institusi muzik menemui jalan untuk terus menghidupkan industri tersebut dengan menganjurkan persembahan online.
Kini, biarpun konsert fizikal sudah kembali diadakan, namun sambutan terhadap konsert jarak jauh sebegitu masih lagi memberangsangkan.
Difahamkan, pawagam-pawagam lain yang menayangkan filem itu turut membenarkan hal sama dilakukan.
Mengimbau pengalaman pertama menghadiri konsert fizikal BTS World Tour Love Yourself di Singapura, Masyitah Mohamad Idris, 31, tidak dapat menggambarkan keseronokan melihat kumpulan Korea Selatan pertama duduki tangga teratas carta Billboard tersebut di depan mata.
Ini kerana, bukan mudah untuk mendapatkan tiket konsert yang laris bagaikan pisang goreng panas dalam masa beberapa saat sahaja sebaik tempoh penjualan tiket dibuka.
Ujarnya, dia dan rakan-rakan terpaksa menggunakan pelbagai peranti dan mencari ruang talian paling laju untuk mencuba nasib agar dapat menyambar tiket konsert diidamkan.
“Raffle System membolehkan ARMY dengan keahlian rasmi untuk membeli tiket konsert BTS di Korea, namun kami selalu tidak bernasib baik. Saluran internet yang lemah juga menyukarkan proses pembelian tiket.
“Jadi, peluang kami adalah pada konsert di negara sekitar. Pengalaman konsert fizikal ini bermula dari masa membeli tiket sehinggalah tamat konsert, sebab itu tidak hairan ada di antara kami yang akhirnya jadi rakan untuk jangka masa lama,” katanya.
Biarpun akui konsert secara dalam pawagam tidak dapat menandingi suasana konsert sebenar, pembantu akauntan di sebuah syarikat katering dalam penerbangan itu berpendapat ia penting buat peminat yang tidak memiliki kemampuan atau kelapangan untuk melancong ke luar negara.
“Konsert menerusi weverse atau pawagam memberikan alternatif kepada suasana konsert sama ada secara beramai-ramai atau secara bersendirian. Ini penting kerana tidak semua peminat miliki masa dan wang untuk dihabiskan di konsert fizikal. Ini bukan sahaja untuk peminat berstatus pelajar, tapi juga buat peminat yang berkeluarga,” ujarnya.
Sebagai rekod, BTS merehatkan aktiviti seni mereka sebagai satu kumpulan sehingga tahun 2025 bagi melaksanakan perkhidmatan ketenteraan Korea Selatan.
Jin menjadi ahli pertama yang menyertai latihan tentera pada Disember lalu, sementara ahli lain melakukan aktiviti solo.














