fbpx

Pemilik kilang degil, diserbu kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa MPKS memeriksa kilang kitar semula yang diserbu di sekitar Ijok, Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Sebuah kilang kitar semula haram di Jalan Abdul Aziz, Ijok di sini bagaikan mencabar penguat kuasa apabila kembali beroperasi sebelum diserbu sekali lagi, kelmarin.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, kilang di kawasan kampung itu telah dikenakan tindakan termasuk sitaan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 19 Januari lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati kilang itu semakin meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti buangan bateri kering, tembaga dan papan litar plastik dan telah diserbu hasil maklumat awam dan risikan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Premis itu diarah tutup serta merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini. Dua unit penjana kuasa elektrik dan sebuah jentera forklift disita bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! pada 20 Januari lalu melaporkan kilang itu diserbu kerana turut menimbulkan kacau ganggu bau di kawasan kampung sekitar Ijok.

Jelas Mohamad Lutfi, kes itu disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007.

“Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan dua kompaun selain Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) juga membantu proses pemotongan bekalan air premis itu,” ujarnya.

Tambah beliau, JAS turut akan mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI