fbpx

KDN dalam proses bawa kanak-kanak keluar dari depoh tahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika ditemui pemberita di Putrajaya malam tadi.

PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti jumlah tahanan kanak-kanak yang berada di depoh tahanan imigresen dan sedang dalam proses bagi mengeluarkan kumpulan itu dari pusat berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk mengeluarkan tahanan kanak-kanak itu dan akan dipindahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kebajikan.

“Saya sudah semak jumlah kanak-kanak yang berada di depoh tahanan dan mengetahui di mana mereka berada. Saya dalam proses untuk mengeluarkan mereka daripada depoh tahanan terutama untuk golongan kanak-kanak.

“Saya ada jumlah itu dan sedang berurusan dengan beberapa kumpulan masyarakat Madani dan NGO yang mempunyai pengkhususan dalam penjagaan,” katanya pada sidang media selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Pengamal Media di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau juga tidak menghalang mana-mana NGO untuk masuk ke depoh tahanan bagi berjumpa kumpulan kanak-kanak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut mengusulkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani agar sidang media secara berkala bersama pengamal media dapat diadakan semula.

Jelasnya, beliau telah menerima banyak maklum balas khususnya daripada rakan-rakan media berhubung kesukaran untuk mendapatkan sebarang perkembangan siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ketika keputusan dibuat oleh polis untuk tidak melanjutkan (sidang media berkala), pada saya mendengar versi polis pun ada logiknya juga.

“Cuma dalam keadaan sekarang ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap untuk membina jalinan kerja yang lebih kondusif dengan rakan-rakan media sebagai rakan strategik maka saya mengusulkan kepada beliau (Acryl Sani) tadi secara langsung, ucapan yang semua rakan-rakan media dengar untuk ia diadakan semula,” katanya.

Menurut Saifuddin, beliau memberi peluang kepada Ketua Polis Negara untuk menimbangkan cadangan itu dan turut harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Terdahulu, ketika berucap, Saifuddin menyebut bahawa sebelum ini sesi sidang media sering diadakan namun atas alasan tertentu ia telah dihentikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI