fbpx
Bantuan Awal Persekolahan diberi bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak. – Gambar hiasan

Ibu bapa terdesak guna duit BAP anak RM150

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Sebahagian ibu bapa mendakwa wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diterima anak mereka bulan lalu sudah ‘licin’ walaupun sesi persekolahan 2023/2024 hanya akan bermula 18 Mac depan.

Selain terdesak dengan tekanan kos sara hidup, mereka telah membelanjakan BAP sebagai wang saku harian untuk anak-anak ke sekolah selain digunakan untuk menggantikan semula buku-buku teks yang rosak atau sudah lusuh.

Seorang operator kilang, Munirah Ismail, 43, berkata, wang BAP dua anaknya yang bersekolah di tahun 6 dan tingkatan 3 berjumlah RM300 sudah habis digunakan hanya dalam tempoh empat minggu persekolahan.

“Kami terpaksa menggunakan dulu wang bantuan itu untuk menampung duit perbelanjaan sekolah anak-anak sebelum gaji akhir bulan ini.

“Duit belanja harian untuk anak sulung sahaja sudah capai RM8 hingga RM10 sehari terma­suk duit saku sekolah, manakala si adik pula membelanjakan kira-kira RM5 sehari ke sekolah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ujarnya, memang dia berhasrat membeli pakaian dan kelengkapan sekolah anak-anak tetapi terpaksa juga belanja wang itu terlebih dahulu untuk perkara-perkara harian lain.

“Keadaan kehidupan sekarang memang tak mampu dan tak boleh hendak simpan wang.

Pengagihan wang BAP diberikan secara tunai kepada para pelajar tanpa menilai had pendapatan ibu bapa dan diserahkan melalui guru-guru kelas bermula 16 Januari lalu.

Di Kota Bharu, seorang suri rumah terpaksa menggunakan wang BAP empat anaknya untuk membeli barangan keperluan rumah selepas terjejas banjir yang berlaku hujung Disember lalu.

Norhafizah Ariffin, 39, berkata, dia tiada pilihan lain apabila perlu menggunakan wang BAP sebanyak RM600 anak-anak berusia lapan hingga 14 tahun itu.

Dia mengakui pendapatan suaminya sebagai pemandu lori tidak mencukupi lebih-lebih lagi apabila rumah di Peringat, di sini terjejas teruk banjir.

“Hanya wang BAP anak-anak dapat membantu saya dan suami untuk membeli semula kelengkapan rumah yang rosak dan barangan dapur bulan lalu.

“Sebolehnya, saya tidak mahu guna wang bantuan itu, namun hanya itu sahaja yang dapat membantu semasa susah. Saya rasa, ramai lagi ibu bapa yang terjejas banjir terpaksa membuat keputusan sama,” katanya.

Katanya, dia dan suami ketika ini sedang mencari ikhtiar lain untuk membeli kelengkapan sekolah empat anak yang bakal memasuki sesi persekolahan penggal baharu bulan depan.

“Kebiasaannya, saya membe­lanjakan RM300 untuk seorang anak termasuk pakaian, kelengkapan dan yuran sekolah.

“Bermakna saya dan suami perlu sediakan sebanyak RM1,200. Saya masih ada masa kira-kira sebulan untuk buat persiapan anak-anak,” katanya.

Tambahnya, dia bercadang untuk mencari kerja sambilan (part-time) dalam masa terdekat sebagai usaha membantu suami menyediakan perbelanjaan sekolah anak-anak.

Di Melaka, Azizah Abdul Aziz, 68, berkata, bantuan BAP di­terima tiga cucu dijaganya itu sebaliknya digunakan membayar yuran persekolahan yang tertunggak sebelum ini selain membeli bekalan makanan.

Azizah menggosok baju sekolah cucu perempuannya, Nurkhairini di Bukit Rambai, Melaka baru-baru ini.

“Duit BAP itu saya guna untuk bayar hutang yuran sekolah cucu yang kedua, Nurkhairini Abd. Rani, 13, sebanyak RM100, baki RM50 itu nenek beri kepadanya untuk membeli apa yang dia ­teringin selama ini.

“Dua lagi cucu, seorang daripadanya penghidap autisme dan dia mengamuk inginkan permainan konsol, jadi saya gunakan duit itu belikan yang jenis terpakai, seorang lagi terpaksa guna duitnya beli barang dapur,” katanya.

Tambahnya, kesemua cucunya itu dijaga selepas mereka kematian ibu akibat penyakit usus, manakala bapa mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Nurkhairini akan masuk tingkatan satu, tidak mengapa saya akan usahakan cari duit lain untuk beli baju sekolah menengahnya, nenek berniaga nasi ayam kecil-­kecilan untuk tampung kehidupan, insya-Allah ada rezekinya.

“Cucu yang lain ini, mereka pakai baju sekolah lama, masih elok kerana saya jaga baik-baik, orang dah bagi (BAP), tak boleh juga nak cakap tak cukup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN