JITRA – Seorang lelaki melecur pada tangan ketika cuba mengeluarkan sebuah jentera pengangkut dari gudang jerami yang terbakar dalam kejadian di Kampung Batu 4, Sanglang dekat sini hari ini.
Mangsa, Azli Che Ahmad, 44, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika dia bersama empat pekerja sedang melakukan kerja kimpalan besi pada bahagian dinding gudang miliknya itu.
Katanya, percikan api kimpalan tersebut dipercayai terkena jerami lalu mengakibatkan kebakaran.
Difahamkan kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian mencecah RM100,000.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.21 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dan terdapat seorang mangsa melecur pada tangan kanan.
“Anggota melakukan operasi memadam kebakaran dan api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan rumah yang terletak 100 meter dari gudang tersebut,” katanya.
Menurutnya, kejadian bagaimanapun memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah jentera pengangkut dan motosikal dengan gudang terbakar hampir 60 peratus dan mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan dengan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – KOSMO! ONLINE