fbpx

Dua PATI Thailand dicekup cuba seludup buah kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua PATI warga Thailand (tengah) diserahkan kepada pihak polis selepas ditahan di ladang kelapa sawit Risda, Kampung Perawas di Jeli semalam. - IHSAN ATM

JELI – Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dicekup selepas dipercayai cuba menyeludup buah kelapa sawit ke negara mereka di ladang kelapa sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Kampung Perawas di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semasa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan rondaan secara berjalan kaki di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, semasa anggota ATM bertugas, pihaknya mengesan dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan sebelum terus menahan mereka di ladang kelapa sawit itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, kedua-dua lelaki merupakan warganegara Thailand dan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.

“Siasatan lanjut mendapati, mereka masuk ke negara ini dengan tujuan untuk menyeludup buah kelapa sawit ke Thailand.

“Selain itu, anggota tentera turut merampas sebilah sabit, sebilah parang, sebuah beg galas dan empat tandan buah kelapa sawit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM200 bersama mereka,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua PATI itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, ATM akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan khususnya kemasukan PATI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI