fbpx

K2

Usaha pulihara spesies enggang terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH satu usaha yang dilakukan adalah memulihara tapak sarang semula jadi enggang.

UMUM mengetahui bahawa hidupan liar yang semakin diancam kepupusan perlu dipulihara sebaiknya bagi mengelakkan ekosistem dunia terjejas.

Hidupan liar merupakan sebahagian daripada persekitaran semula jadi yang menyediakan makanan, air dan fungsi-fungsi lain sama ada untuk manusia atau haiwan.

Justeru, Hotel Alila Bangsar, Kuala Lumpur komited untuk memberi impak positif melalui inisiatif yang menyokong komuniti setempat seperti meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi hidupan liar.

Hotel tersebut telah menjalin kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Burung Enggang (Gaia) untuk membantu memulihara enggang yang semakin terancam di negara ini.

Matlamat utama Hotel Alila Bangsar adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mengumpulkan dana mempromosikan kerja lapangannya.

Selain itu, ia bertujuan memastikan kebajikan enggang terpelihara menerusi usaha pemulihan tapak sarang semula jadi haiwan itu.

Pengurus Besar Hotel Alila Bangsar, Nancy Cheah berkata, kerjasama itu merupakan komitmen hotel tersebut dalam memulihara spesies enggang tebang mentua (Helmeted Hornbill).

“Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pemuliharaan enggang, kami ingin meningkatkan kesedaran dan mengumpulkan dana bagi menyokong usaha pemuliharaan haiwan ini.

“Hotel ini juga akan menampilkan barangan hasil lukisan tangan berkaitan enggang yang direka oleh artis hidupan liar tempatan, Suzi Chua.

“Ia akan memberi tumpuan kepada penghasilan potret haiwan yang realistik bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebajikan hidupan berkenaan,” ujarnya.

Gaia diasaskan oleh graduan Doktor Falsafah (PhD) Ekologi dari Universiti Malaya iaitu Dr. Ravinder Kaur bersama jurugambar yang merupakan pemenang pelbagai anugerah antarabangsa, Sanjitpaal Singh.

Ravinder (kiri) dan Sanjitpaal (dua dari kanan) bergambar dengan poster pameran berkaitan spesies enggang di Hotel Alila Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka komited untuk memulihara enggang di Sabah, Langkawi (Kedah) serta Terengganu.

Menurut Ravinder, terdapat 10 spesies enggang di Malaysia.

Daripada jumlah itu, spesies enggang Majestic Helmeted disenaraikan sebagai sangat terancam dan termasuk dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

“Memandangkan enggang ialah burung monogami yang mengawan seumur hidup, ia lebih berisiko untuk pupus.

“Tambahan pula, status terancam pada burung ini diburukkan lagi oleh kegiatan perburuan haram dan penebangan hutan.

“Ini menjadikan peranan Gaia sangat diperlukan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerjasama antara Gaia bersama badan-badan lain adalah amat penting.

“Kerja-kerja pemuliharaan akan memberi impak besar, sekiranya ia dilaksanakan bersama kerajaan tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan.

“Ia juga perlu mendapat sokongan daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan organisasi antarabangsa.

“Kami sangat berterima kasih kepada Hotel Alila Bangsar atas semangat dan kerjasama yang amat penting ini,” katanya.

Para tetamu Hotel Alila Bangsar juga oleh menikmati pameran fotografi yang menakjubkan oleh Sanjitpaal yang berlangsung sepanjang bulan ini.

Pameran tersebut berlangsung di ruang lobi Hotel Alila Bangsar yang terletak pada aras 41.

Pameran berkenaan memaparkan gambar-gambar pelbagai spesies enggang di habitat semula jadinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI