fbpx

Rakyat Malaysia parah ditembak di Betong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar CCTV kejadian tembak melibatkan seorang rakyat Malaysia di Betong, Thailand, kelmarin.

GERIK – Seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 55 tahun dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu itu dipercayai ditembak suspek tidak dikenali dan mengalami kecederaan di bahagian perut serta paha.

“Kejadian sekitar pukul 9 malam (waktu Thailand) itu berlaku ketika mangsa yang sedang menunggang motosikal ditembak sebanyak tiga kali di hadapan sebuah kedai serbaneka. Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai warga Thailand itu berjaya melarikan diri dan setakat ini, penyerang terbabit masih belum ditangkap.

Katanya, siasatan dijalankan pihak polis Thailand bagi mengesan suspek tersebut dan motif serangan itu dilakukan sama ada berpunca daripada hal peribadi atau perniagaan.

“Mangsa yang berasal dari Pengkalan Hulu itu dikatakan sering keluar masuk ke Betong kerana mempunyai isteri warga Thailand. Dia juga pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Betong serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kes berkenaan dijalankan sepenuhnya oleh pihak polis Thailand, namun polis Malaysia turut membantu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI