fbpx

Pesawat latihan mendarat cemas di kilang, juruterbang, pelatih terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah pesawat latihan membuat pendaratan paksa di kawasan lapang kilang kaca di Lipat Kajang, Melaka, hari ini.

MELAKA – Suasana di sebuah kilang kaca di Lipat Kajang di sini, bertukar kecoh apabila sebuah pesawat latihan membuat pendaratan cemas di kawasan lapang kilang itu, pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.05 pagi itu, juruterbang dan seorang pelajar yang mengendalikan pesawat dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Kejadian itu turut disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan akhbar dikeluarkan tadi.

“CAAM mengesahkan sebuah pesawat latihan telah membuat pendaratan paksa di Jasin, Melaka berikutan masalah teknikal yang dilaporkan oleh juruterbang.

“Pesawat jenis Piper PA-28-181, 9MSKJ telah memohon kebenaran daripada Menara Kawalan Trafik Udara untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.

“Walau bagaimanapun pesawat yang dikendalikan oleh Malaysian Flying Academy (MFA) telah membuat pendaratan paksa di Kilang Xinyi Energy Smart, Jasin, Melaka pada 11:05 pagi tadi,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintenden Mohd. Fadzli Othman turut memaklumkan maklumat mengenai insiden itu diterima oleh Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jasin menerusi laporan dibuat pekerja kilang terbabit.

Ujarnya, bagaimanapun kes itu diserahkan sepenuhnya kepada MOT untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI