fbpx

Malaysia terus unggul pertahan gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD wanita remaja negara berjaya menewaskan Hong Kong untuk mempertahankan gelaran buat kali keempat berturut-turut di Chennai, India.

KEJAYAAN menjuarai Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Wanita Asia membuktikan Malaysia sememangnya berada dalam kelas tersendiri bagi arena sukan itu baik di peringkat remaja dan senior.

Kelmarin, skuad remaja wanita menumbangkan seteru tradisi, Hong Kong 2-0 dalam aksi final di Chennai, India dan mempertahankan gelaran keempat berturut-turut sejak mula memenangi­nya pada 2019.

Penolong ketua jurulatih kebangsaan, Andrew Cross gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak-anak buahnya terutama peranan ditunjukkan oleh pemain No. 65 dunia, Aira Azman selaku perseorangan utama.

“Para pemain beraksi cemerlang terutama Aira dengan persembahan yang sangat me­ngagumkan. Saya ingat dia akan kepenatan dalam set kedua dan ketiga kerana permainan yang sengit.

“Secara keseluruhan saya amat gembira dengan prestasi semua pemain yang sudah memberikan 100 peratus sepanjang kejohanan. Ini adalah kejuaraan keempat berturut-turut buat Malaysia,” katanya.

Aira, 18, yang juga adik kepada Aifa Azman iaitu pemain wanita No. 3 negara di ranking ke-31 dunia, menang straight-set ke atas Wai Sze Wing dengan keputusan 11-2, 11-9, 11-5.

J. Yasshmita yang menghuni ranking ke-103 dunia, terpaksa beraksi dalam lima set untuk menewaskan Toby Tse 11-5, 7-11, 11-9, 9-11, 11-7 sebelum mengesahkan kejuaraan buat Malaysia.

Selain Aira dan Yasshmita, skuad remaja wanita yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Chennai semalam turut dianggotai dua pemain berusia 15 tahun, Whitney Isabelle Wilson dan Doyce Lee.

Turut membawa pulang keceriaan untuk kem skuasy negara semalam adalah kejayaan skuad remaja lelaki yang meraih tempat ketiga bersama Korea Selatan selepas tewas pada separuh akhir di tangan Pakistan bagi acara berpasukan remaja lelaki Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI