fbpx

Penyelidikan saintifik kekuatan jenama Nano Cosmetics

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Amalia (dua dari kanan) bersama duta syarikat, Nadya Syahera (kanan) serta pengedar yang diraikan pada majlis pelancaran Nano Cosmetics di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Berpengalaman mencatat jualan dalam jumlah yang besar dengan melibatkan nilai sehingga jutaan ringgit pastinya membolehkan seseorang individu itu diberi keyakinan untuk mengemudikan operasi perniagaan sesebuah syarikat.

Bukan semua kakitangan khususnya dalam bahagian pemasaran dan promosi mampu mencapai rekod terbaik itu tetapi itulah kelebihan yang ada pada Nur Amalia Abdullah, 43, yang kini menjawat jawatan penting dalam sebuah syarikat pengeluaran produk penjagaan kecantikan yang semakin popular kini.

Wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu kini diberi kepercayaan duduk di kerusi Pengurus Besar Nano Cosmetics HQ yang berperanan besar untuk memastikan segala operasi syarikat yang mula dibangunkan sejak tahun lalu berjalan lancar serta berterusan merancang pengembangan perniagaan ke tahap yang lebih baik.

Melalui sokongan daripada kakitangannya, Nano Cosme­tics menyusun strategi untuk merancang operasi perniagaan, pengeluaran, promosi dan merekrut usahawan baharu mengorak langkah untuk mengukuhkan jenama bukan sahaja di pasaran domestik tetapi juga di luar negara.

Beliau yang telah berkhidmat selama hampir 21 tahun dalam pelbagai bidang pekerjaan dalam sektor swasta mula mencuba nasib melangkah ke dalam industri pengeluaran produk penjagaan kecantikan dan kesihatan sejak tiga tahun lalu.

Nano Cosmetics adalah platform terbaharunya dalam mengejar cita-citanya dalam perniagaan yang berpotensi ini.

Pengalaman dan minatnya khusus dalam memperoleh kontrak jualan bernilai tinggi melalui transaksi perniagaan kepada perniagaan (B2B) membolehkan Nur Liyana mampu mengemudikan sebuah syarikat untuk melatih lebih ramai usahawan di bawah jenama Nano Cosmetics.

Banyak perancangan yang sedang diatur bagi memastikan syarikat kukuh mendepani cabaran persekitaran ekonomi yang perlahan tetapi kuasa beli masyarakat tetap ada dalam pembelian barangan kegemaran masing-masing khususnya terhadap produk penjagaan kecantikan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

Mengambil peluang daripada permintaan yang ada itu, syarikat kini tertumpu menawarkan produk berasaskan nano dan ­bioteknologi khususnya daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan dari hutan hujan bagi menyediakan produk penjagaan kulit yang selamat, boleh dipercayai dan berkesan.

“Kami percaya kepada konsep ­Science Knows Best dan menggunakan hasil penyelidikan saintifik terkini itu bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah kulit kumpulan pelanggan tertentu.

“Melalui konsep tersebut dengan inovasi saintifik Nano Emulsion, syarikat menawarkan serum wajah dan masker wajah Bio Cellulose Double A Skin Brighte­ner (Double A) dan Double R Skinsaver (Double R) sebagai kunci kepada kulit wajah berseri, segar dan sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Nano Cosmetics di sini baru-baru ini.

Nur Amalia menjelaskan, formulasi unik produk syarikat diperoleh hasil penyelidikan nano­teknologi daripada pusat penyelidikan universiti tempatan dengan menghasilkan produk serum untuk wajah dan masker wajah menggunakan ekstrak manggis dan nanas.

Lebih menarik, inovasi mas­ker keluaran syarikat dapat memastikan serum di dalamnya menyerap masuk ke kulit wajah tanpa menitik atau kering terlalu cepat serta melekap ke wajah supaya memudahkan pengguna senang bergerak tanpa risau ia terjatuh atau tertanggal.

Tambah beliau, bagi memudahkan pengguna memilih produk yang bersesuaian, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Double A yang terdiri daripada serum muka dan masker wajah untuk mereka yang ada masalah jerawat dan Double R pula terdiri daripada serum muka dan mas­ker wajah untuk menyelesaikan masalah kulit berjeragat.

Kedua-dua produk itu ditawarkan pada harga berpatutan iaitu serendah RM35 iaitu harga promosi sempena pelancaran baharu, manakala pek promo yang terdiri daripada satu unit serum dan dua masker di dalam satu kotak cenderahati pula dijual pada harga RM90.

Wanita ini berkeyakinan, melalui strategi pemasaran, testimoni pengguna sedia ada dan pelantikan duta baharu iaitu selebriti Nadya Syahera bakal me­lonjakkan lagi jualan pada tahun ini dan akan datang.

Selain itu, beliau turut me­rancang untuk melancarkan beberapa produk asas penja­gaan kecantikan seperti pencuci muka, pelembap dan sunscreen bagi melengkapkan lagi ke­luaran produk di pasaran semasa dan memenuhi perubahan gaya hidup pelanggan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI