fbpx

Inovatif LSD TNB selamatkan 5,000 pokok setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Inovatif LSD TNB bantu kurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usaha memulakan projek perintis menggunakan Light Steel Drum (LSD) dalam pembekalan kabel sebagai salah satu alternatif kepada dram kayu mulai pertengahan bulan Mac depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din berkata, ia sejajar komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun untuk menyediakan 14,000 dram bagi penggunaan pelbagai saiz kabel di mana projek ini dimulakan dengan Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. (TCI).

“Sekiranya pelaksanaan ini memberi impak serta manfaat kepada persekitaran maka ia akan dilanjutkan penggunaannya kepada pengilang kabel yang lain.

“Projek perintis berkenaan adalah sebahagian daripada usaha proaktif TNB untuk menangani Skop Tiga Pelepasan dalam memastikan ekosistem vendor dan rantaian bekalan TNB juga mematuhi piawaian ESG,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, projek perintis LSD yang boleh guna semula dilaksanakan dengan jayanya sejak Mac tahun 2022 dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah pada November lalu.

“Kami telah menukar cabaran kekurangan bekalan dram kayu menjadi peluang meneroka solusi baru yang bukan sahaja menjamin pembekalan kabel, malah menyumbang kepada peningkatan komitmen terhadap ESG.

“Kejayaan projek perintis tersebut adalah melalui usaha bahagian Perolehan dan Rantaian Bekalan (P&SC) dengan kerjasama TCI dan bahagian Rangkaian Pembahagian (DN) serta di enam tapak projek di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dan analisa, pihaknya mendapati penggunaan LSD adalah lebih berkesan dan tahan lasak berbanding ‘Hybrid Drum’.

“Setiap LSD boleh diguna semula sehingga lima kali, di mana ia boleh mengurangkan penggunaan dua hingga tiga batang pokok balak dan secara tidak langsung menyumbang kepada lebih banyak karbon dioksida dapat diserap oleh pokok yang diselamatkan.

“Pada penghujung tahun 2021, kekurangan sumber kayu menyebabkan pembekal menaikkan harga dram kayu sehingga 50 peratus dan tempoh pesanan mendapat bekalan juga mengambil masa hingga empat minggu.

“Selain membantu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi iaitu kayu balak, penggunaan LSD turut menyumbang kepada kelestarian ekosistem,” katanya.

Baharin berkata, LSD dipasang dengan alat pengesan untuk mengumpul maklumat termasuk lokasi dan status pergerakan membantu langkah mencegah kecurian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perolehan TNB, Amir Mahmod Abdullah berkata, bahagian Perolehan & Rantaian Bekalan dan TCI merintis projek LSD ke arah “Green Curve” dalam usaha mendukung komitmen ESG TNB.

Justeru, katanya, ia bertepatan dengan usaha untuk terus membekalkan elektrik berdaya harap serta ke arah kehidupan lebih sejahtera dan lestari, seperti mana komitmen Pelan Peralihan Tenaga TNB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI