fbpx

Lelaki tumbuk kakak selepas didakwa curang dengan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PADAWAN – Polis memburu seorang lelaki kerana mencederakan kakaknya selepas mengamuk di rumah mereka di Kampung Segedup, Jalan Batu Kawa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 34, pada pukul 5.52 petang iaitu beberapa jam selepas kejadian.

Katanya, pada pukul 3.34 petang semalam, mangsa yang juga anggota bomba telah dipukul oleh adiknya itu sehingga menyebabkannya mengalami kesakitan pada kepala dan lebam di bahu, lengan dan tangan.

“Sebelum kejadian, mangsa dan adik perempuannya sedang melakukan kerja di dapur, manakala suspek sedang duduk makan di lantai dapur.

“Suspek tiba-tiba membuat bising, membebel, memaki hamun serta menuduh mangsa membuat perkara yang tidak baik di belakang suaminya.

“Mangsa kemudian menegur suspek menyebabkan suspek terus memukulnya bertubi-tubi di bahagian kepala, bahu, lengan dan tangan kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal menambah, suspek yang merupakan anak kedua daripada empat beradik juga sering mengamuk tanpa sebab kepada adik-beradik dan ibu bapanya, tetapi tiada laporan polis dibuat.

Katanya, pasukan detektif telah diarahkan menangkap suspek yang berusia 32 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/18A Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI