fbpx
STACY

Buat lagu sama macam memasak – Stacy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJAWAT peranan sebagai isteri, ibu dan pada masa sama, setia menjalani liku perjalanan anak seni banyak mengubah kehidupan susuk bernama Ummu Shaikhah Stacy Anam atau nama pentasnya, Stacy.

Lima belas tahun sejak bergelar juara program realiti Akademi Fantasia Musim keenam (AF6), Stacy kian matang serba-serbi baik dari segi pertuturan, keperibadian dan jalur muzik selayak apa yang digapainya selama tempoh tersebut.

Sewaktu zaman anak dara, semua perihal ‘dilanggar’. Pihak label suruh buat ‘A’, maka ‘A’ diterjemahkannya tanpa banyak songeh dan rungutan.

Sekarang, dia memacu setapak saat menggunakan nama pena Bunga Cantek dalam dunia penggubahan lagu.

Tuahnya untuk menang sebagai penyanyi dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak pernah kunjung tiba, namun rezeki juga tak pernah salah alamat apabila Cinta, sentuhannya bersama Akim (Hang Nadim) nyanyian Marsha Milan berjaya naik podium ternama tersebut.

STACY mengibaratkan kerja gubahan lagu dan penulisan lirik sama seperti ketekunan dan kemahiran memasak di dapur, harus ada cara dan kesabaran tersendiri.

Dahulu ‘all out’

“Dahulu saya ‘all out’ dan terbiasa sangat buat persembahan. Saya memang orang yang sukakan pentas. Jarang saya nak bagi sikit sahaja kalau buat persembahan.

“Jadi, apabila saya berehat ketika melahirkan anak pertama, Eshaal Afiq pada 2017, saya dah hilang momentum sehinggakan kadang-kadang lupa yang saya ini manusia biasa. Terlupa nak relaks.

“Bila tengok balik diri saya yang dahulu masa mula-mula bergelar penghibur dengan kematangan yang saya ada sekarang, saya sedar ‘buruknya saya nyanyi dahulu’.

“Dari tahun ke tahun dalam industri, semakin saya kenal siapa diri, lebih mendalam sebagai seorang anak seni.

“Sebab itu sekarang, saya sudah sangat selesa bekerja di belakang tabir sebagai komposer bersama Akim,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Stacy yang ditemui pada temu bual bersama media bersempena konsert solo pertamanya, DFP Present Stacy di DFP, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) berkata, sekarang adalah masa untuknya lebih bijak mengatur langkah sebagai anak seni sejati.

“Kalau dahulu, gear empat gear empat terus. Gear enam boleh masuk lagi. Lebih kurang macam itu perumpamaannya.

“Sekarang lebih teratur. Walau sekecil mana, kita perlu ada perancangan yang teliti.

“Macam sekarang kerja belakang tabir sebagai komposer sangat berguna buat saya untuk kita nak ke depan nanti.

“Bila kita kerja di belakang, baru nampak semua daripada segala sisi. Sebelum ini hanya jadi penyanyi, kita hanya berjalan ikut telunjuk orang.

“Sekarang banyak perhatikan, hasilkan idea dan formula sendiri,” ujar penuh teliti.

Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Ilham menulis dari dapur

Diajak berbicara tentang inspirasinya membina nama sebagai komposer, Stacy tidak menafikan ilhamnya banyak datang dari dapur sewaktu memasak.

Katanya, memasak juga memerlukan kemahiran dan fokus yang tinggi sama seperti menulis.

Mungkin kedengaran pelik namun itu yang berlaku dalam kehidupannya sebagai seorang penggubah lagu.

“Kalau saya tak belajar memasak, tak mungkin saya akan pandai buat lagu. Sebab memasak adalah seni. Saya dapat idea (tulis lagu) dan konsep nyanyian, semuanya dari dapur.

“Tapi memang betul. Bagi saya, idea menulis lagu kebanyakan masa datang dari memasak,” katanya.

Jelas pelantun lagu Gagap itu, memasak sama seperti menulis lagu memerlukan kesabaran. Jika terkurang atau terlebih, maka tidak menjadilah ‘juadah’ buat khalayak.

“Memasak ini macam menyanyi juga. Tersilap sikit dan terkurang sikit pun macam menyanyi juga. Terlebih tak sedap, terkurang pun tak sedap.

“Kena jaga api, masak apa semua. Kalau dahulu memang masak cincai saja tetapi disebabkan ada komitmen, selalu kena memasak.

“Sebagai contoh, semua orang boleh masak asam pedas tapi rasanya berbeza-beza,” katanya yang tidak lokek dengan senyuman.

REZEKI Stacy untuk naik menjulang trofi anugerah AJL terzahir menerusi Cinta nyanyian Marsha yang menang tempat kedua dan persembahan terbaik pada AJL36.

Tahun kebangkitan, DFP Presents Stacy

Meneruskan perbualan, Stacy mengakui tahun 2023 menyaksikan kebangkitan semula kariernya selepas melahirkan anak lelaki, Ogos tahun lalu.

“Anak pertama saya, Bella De Luna Valentina sudah berusia 11 tahun, manakala Eshaal Afiq Akim menginjak enam tahun. Isa pula sudah masuk enam bulan.

“Jarak usia antara mereka adalah lima tahun. Jadi, kalau boleh, biarlah jarak mereka begitu, lima tahun sekali. Jadi ada masa untuk saya.

“Jadi, 2023 adalah tahun kebangkitan saya. Sebab mungkin sebelum ini, saya banyak meluangkan masa untuk anak-anak,” tuturnya.

Mengubat rindu peminat, Stacy tampil dalam konsert solo pertama iaitu konsert DFP Present Stacy di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC pada 25 Februari ini.

Konsert tersebut menyaksikan penampilan istimewa suami tercinta, Akim Ahmad.

“Banyak yang saya nak lakukan. Akan debut lagu baharu berjudul Teriak. Persembahan ada sentuhan broadway dan dalam hati ada rasa gemuruh, tak sabar nak kembali atas pentas membuktikan saya mampu buat persembahan.

“Persembahan ini sangat bermakna buat saya kerana selepas 15 tahun, baru dapat buat konsert atau persembahan solo.

“Saya berehat agak lama, namun sekarang saya dah bersedia ‘gegar’ kembali,” ujarnya menggulung perbualan.

Tiket-tiket berharga RM169, RM219, RM319 dan RM369 (Meet & Greet) boleh ditempah menerusi talian 03-23317007 atau melalui e-mel [email protected] serta laman web DFP www.dfp.com.my.

ADA gemuruh berkocak di dada Stacy memikirkan persembahan yang bakal dijayakan di DFP menjelang 25 Februari nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN