fbpx

Muhyiddin nafi terlibat beri kontrak kepada syarikat menantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin nafi beliau terlibat dalam pemberian kontrak NIISe kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, tuduhan yang diterbitkan dalam satu laporan portal berita itu merupakan satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, sebagai perdana menteri ketika itu, dia sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

Muhyiddin.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai perdana menteri pada waktu itu.

“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya.

Menurut Muhyiddin, bagaimana dia yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarganya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa.

Tambahnya, dia percaya ia adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadapnya.

“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau kerajaan yang melantik anak-beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.

“Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI