fbpx

Gempa Turkiye: Runtuhan di Nurdagi bukan ‘biasa-biasa’ – SMART

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan SMART ketika menjalankan operasi SAR di Nurdagi, semalam. -Foto IHSAN SMART.

PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menggambarkan kesan tragedi gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep, bagaikan mimpi ngeri.

Komander SMART, Mohd. Khairul Jamil, berkata, didapati hampir semua bangunan sepanjang perjalanan ke Nurdagi runtuh ekoran kesan gempa bumi kuat yang melanda kawasan itu.

“Memang sangat terkejut sebab ketika kami hampir tiba di Nurdagi, hampir semua bangunan sepanjang empat kilometer perjalanan ke sana runtuh dan runtuhan tersebut bukan ‘biasa-biasa’.

“Selain itu penduduk di Nurdagi, kami dapati masih dalam keadaan terkejut, kebingungan dan sangat memerlukan bantuan seperti makanan, minuman malah dalam masa sama, terpaksa berdepan masalah utama iaitu cuaca sejuk ekstrem,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Dalam pada itu, Mohd. Khairul memaklumkan seorang mangsa yang diserang sakit jantung ketika operasi SMART berlangsung semalam, berjaya diselamatkan.

“Semalam ketika operasi SMART bersama pasukan Qatar Insarag, kita berjaya bantu seorang mangsa diserang sakit jantung yang berada di pusat pemindahan.

“Mangsa yang berusia lingkungan 50-an itu bagaimanapun berjaya diselamatkan, dah dibawa ke hospital dan kini dalam keadaan stabil,” kongsinya.

Mohd. Khairul memberitahu, SMART akan menyambung semula operasi hari ini pada pukul 8 pagi (waktu Turkiye).

“Insya-Allah hari ni kita akan tubuhkan operasi kita sendiri.

“Setakat ini tiada mangsa kami temui setakat misi yang di jalankan semalam dan operasi akan diteruskan semula hari ini, pada pukul 1 tengah hari waktu Malaysia.

“Ketika misi dijalankan, ‘Delsar equipment’ turut digunakan untuk mengesan mangsa di bawah runtuhan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Khairul berkata, misi SAR pasukan SMART kini berdepan dengan halangan terbesar iaitu cuaca ekstrem mencecah -1 ke -2 darjah Celsius.

“Untuk makluman, hari ni cuaca mencecah -1 ke -2 darjah Celsius dan kita hadapi kesukaran untuk melaksanakan kerja dalam cuaca begini.

“Besar harapan kami supaya seluruh rakyat Malaysia dapat doakan kami di sini sebab cuaca semakin ektrem dan kita sedang bermain dengan masa. Semoga kita dapat bantu rakyat Turkiye sebaik mungkin,” katanya.

Selain itu kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak juga menjadi cabaran bagi kelancaran misi SAR.

“Kebanyakan kedai-kedai di sini masih belum dibuka jadi kami terpaksa dapatkan bekalan minyak dan keperluan lain di daerah-daerah lain yang tidak terjejas selain sistem komunikasi tak stabil,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI