fbpx

‘Nikah? Tunggulah Seth boleh bercakap dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHILA mahu mengukuhkan kewangan dan kariernya terlebih dahulu sebelum memikirkan soal lain termasuk perkahwinan.

PETALING JAYA – “Selagi belum akad nikah, makanya belum sah lagi.”

Itu respons penyanyi Shila Amzah selepas diasak peminatnya untuk berterus-terang secara terbuka tentang status hatinya yang dikatakan sedang menyulam cinta bersama pesohor media sosial dikenali sebagai Ubai.

Shila, 33, ketika sesi siaran langsung (live) dalam Instagram berkata, dia memohon peminat mendoakan perkara yang baik-baik terutama karier seninya supaya berjalan dengan lancar.

Tambah pemilik nama lengkap Nur Shahila Amir Amzah, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk dia bercerita tentang perkahwinan kerana dia perlu memberi tumpuan terhadap beberapa perkara termasuk anak tunggalnya, Seth Uwais yang kini berusia tiga tahun.

“Saya masih muda. Berhenti tanya saya bila akan berkahwin lagi. Saya mahu bekerja, cari duit. Saya kena ada simpanan sendiri sebelum berkahwin.

“Sekurang-kurangnya tunggu sehingga Seth pandai bercakap,” katanya.

Dengan nada berseloroh, pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu turut memberitahu, jika mahu ke arah yang lebih serius (bernikah), sekurang-kurangnya perlu menunggu sehingga pendakap gigi (braces) yang dipakai Ubai boleh dibuka dalam masa tiga tahun lagi.

“Lagipun braces Ubai pun lagi tiga tahun baru boleh buka. Jadi jangan bahas tentang pernikahan.

“Saya juga mahu membahagiakan diri sendiri terlebih dahulu sebelum membahagiakan hati orang lain,” jelasnya.

Terdahulu, kecoh tentang hubungan antara Shila dan Ubai atau nama penuhnya Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli apabila dikatakan sedang bercinta.

Shila dalam satu kenyataannya berkata, dia sudah berkawan rapat dengan Ubai sejak setahun lalu bermula dengan insiden kemalangan skuter.

“Cinta bermula dengan sebuah skuter. Sebenarnya perkenalan sudah lama tetapi kejadian tersebut yang menggerakkan hati saya,” katanya tanpa memperincikan kisah tersebut dalam siaran langsung TikTok.

Malah, pelantun Patah Seribu itu juga memberitahu hubungannya dengan jejaka berusia 25 tahun itu juga mendapat restu ibu bapa dan kenalan rapatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI