fbpx

Desak keluar duit KWSP hanya untuk kejar populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin baru-baru ini mendakwa menerima lebih 1,800 permintaan daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahukan kerajaan meluluskan Tuntutan Pengeluaran Khas 2.0.

Kononnya ramai kini hidup susah sehingga ada terpaksa tidur di dalam kereta kerana tidak mampu untuk menyewa rumah, malah ada pasangan suami isteri bercerai akibat kesempitan hidup.

Persoalannya sekarang, mengapa mereka semua mengalami kesempitan hidup sehingga sedemikian rupa?

Adakah jika kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP seperti sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang keseluruhannya berjumlah RM101 bilion, masalah kesempitan hidup mereka akan selesai?

Benar, mereka yang dalam kesusahan amat perlukan wang, tetapi sejujurnya pengeluaran wang simpanan untuk hari tua bukanlah penyelesaian terbaik.

Buktinya, KWSP telah membenarkan tiga pengeluaran sebelum ini, namun masih ramai yang tidak mampu untuk mengubah keadaan dan nasib mereka.

Maksudnya pengeluaran wang KWSP tidak menjamin untuk merubah kehidupan mereka walaupun untuk jangka pendek.

Tidak dinafikan mereka memang perlukan bantuan dan apa yang mereka perlukan ialah sumber pendapatan tetap dan lebih stabil.

Jadi, mereka sebenarnya mahukan kerja atau memulakan bisnes kecil bagi membolehkan kembali berdiri dengan kaki sendiri. Ini sebenarnya perlu diberi perhatian oleh kerajaan atau pihak baitulmal jika benar-benar ikhlas untuk membantu golongan tersebut.

Mereka semua tidak sakit, cuma tidak bernasib baik ekoran kehilangan pekerjaan atau bisnes merudum akibat serangan pandemik yang tidak terduga sebelum ini.

Jadi, jika mereka kembali mendapat pekerjaan atau dapat memulakan semula bisnes dengan pantauan dan bimbingan pihak berwajib, insya-Allah sumber kewangan mereka akan kembali stabil.

Jika kita terus benarkan mereka mengeluarkan simpanan hari tua masing-masing, apa lagi yang akan tinggal. Ketika ini pun 76 peratus atau 5.1 juta pencarum bumiputera yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun 2022.

Jika sekarang pun mereka merempat, bayangkanlah apa akan jadi jika ditakdirkan umur mereka panjang dan tidak mempunyai wang secukupnya untuk menampung hidup semasa tua.

Jadi, mereka semua kena dibantu kembali berdiri bermula dari sekarang supaya dapat kembali mencari sumber pendapatan untuk kehidupan lebih stabil selain mencari bekal sebelum hari persaraan tiba.

Tindakan mendesak kerajaan supaya membenarkan tuntutan pengeluaran khas KWSP pada hemat saya tidak lebih sekadar untuk mengejar populariti, kononnya berjuang untuk menyelamatkan golongan yang sedang berada dalam kesempitan hidup.

Sedangkan pada hakikatnya kita telah meletakkan kehidupan hari tua mereka berada dalam risiko yang amat besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI