fbpx

Syria Care buka bantuan kecemasan Turkiye, Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi berskala 7.8 Richter semalam.

PETALING JAYA – Gempa bumi berskala 7.8 Richter yang melanda kawasan Turkiye dan barat laut Syria semalam telah mengorbankan lebih 3,700 nyawa.

Bencana yang berlaku dalam cuaca musim sejuk memeritkan lagi ribuan mangsa yang terlibat susulan kehilangan tempat tinggal dan usaha mencari mangsa terselamat juga seakan terbatas.

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya telah menggerakkan usaha dan telah membuka bantuan kecemasan bagi mereka yang ditimpa musibah semalam.

“Kita telah buka bantuan kecemasan dan anda boleh menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye melalui http://ezy.la/gempasyriaturki.

“Bantuan kecemasan ini akan dilakukan selama dua minggu dan kita akan segerakan bantuan mengikut keperluan-keperluan yang mendesak bagi mereka semua,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah beliau, keadaan bertambah sulit kerana bencana gempa bumi berkenaan berlaku dalam musim sejuk dan mereka juga hilang tempat perlindungan tanpa sempat membawa lari keperluan mereka.

“Kita baru sahaja buka saluran sumbangan semalam dan berharap nilai sumbangan hari ini boleh cecah RM100,000 seterusnya kita boleh fokuskan untuk membantu mangsa di Syria terlebih dahulu.

“Pelbagai keperluan yang diperlukan seperti bekalan makanan, pakaian sejuk, kelengkapan tempat tinggal sementara, bahan bakar dan barangan-barangan lain. Ia sangat memerlukan nilai sumbangan yang tinggi berbanding hari tanpa bencana sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mangsa yang terselamat dalam insiden tersebut mengalami kecederaan dan bertempiaran menyelamatkan diri ‘sehelai sepinggang’.

Katanya, agihan pertama yang sepatutnya dijalankan semalam akan dilakukan hari ini bermula di Syria.

“Sebenarnya, kita nak mula semalam namun, disebabkan kekangan kita tangguhkan dulu niat kerana petugas kami disana turut terlibat dalam bencana jadi kami terpaksa tangguh dahulu dan mengutamakan keselamatan mereka serta ahli keluarga masing-masing terlebih dahulu.

“Kita juga tengah menunggu arahan untuk membuat lintas langsung bagi melihat sendiri keadaan sebenar di sana.

“Bantuan akan disusuli ke beberapa kawasan lain dan ia juga bergantung kepada nilai sumbangan yang kami terima,” jelasnya.

Justeru, Siti Sakinah sangat berharap nilai sumbangan bantuan kecemasan yang diterima tinggi kerana ramai mangsa yang sangat memerlukan ketika ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI