fbpx

Ibu tunggal ulang-alik 50 kilometer buat pes terima geran RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HALIMAH menunjukkan produk pes sizzling ketika ditemui di Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM, di Klebang, Melaka hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Kecekalan seorang ibu tunggal enam anak berulang-alik 50 kilometer setiap hari menaiki bas henti-henti untuk memasarkan produk pes sizzling dibangunkan terbalas apabila terpilih menjadi penerima geran RM10,000 daripada SIRIM Berhad.

Menurut Halimah Isnin, 42, meskipun tidak tahu menulis dan membaca, namun demi membesarkan anak-anaknya berusia 12 hingga 21 tahun, dia tidak pernah berputus asa untuk mencari peluang khsususnya dalam bidang perniagaan.

Jelasnya, sejak tiga tahun lalu dia yang menetap di Pengkalan Balak, Alor Gajah sanggup menaiki bas henti-henti untuk ke Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Klebang dekat sini yang menjadi pusat latihan untuk membuat pes mi sizzling berkenaan.

“Sebenarnya resipi pes ini telah dicipta oleh arwah suami yang merupakan seorang tukang masak dan dikongsikan kepada saya sebelum dia meninggal dunia akibat strok lima tahun lalu.

“Pada awalnya, saya hanya menjual popiah carbonara, namun anak sulung yang ketika itu berusia 17 tahun memberi cadangan supaya membangunkan pes mi sizzling menggunakan resipi arwah suami dan sejak itu kami membuat eksperimen mencari rasa yang sama,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Peruntukan Program Tanggungjawab Sosial Korporat SIRIM di Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM di Klebang, di sini, hari ini.

Tambahnya, dia kemudian telah terpilih untuk menyertai latihan di hub pengeluaran tersebut dan diberi peluang untuk memasarkan pes berkenaan secara kecil-kecilan.

Ujarnya, geran itu meliputi bantuan untuk menambah baik bungkusan produk dengan pelekat yang mempunyai maklumat asas termasuk jenama, nutrisi makanan, bahan-bahan masakan dan tarikh luput.

“Secara tidak langsung produk ini juga dapat dipasarkan secara meluas berbanding sekarang yang hanya dijual di hub ini dan melalui tempahan daripada pelanggan,” katanya yang menyara anak berusia 21 hingga 12 tahun.

Sementara itu, Penyelaras Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM, Zaidi Omar berkata, peruntukan itu adalah kali kedua yang disalurkan oleh SIRIM kepada golongan itu.

“Geran ini meliputi bantuan untuk penjenamaan produk yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Kita harap dengan pelabelan yang lengkap, produk-produk dihasilkan golongan ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas menembusi pasaran di luar Melaka,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI