fbpx

Berputih mata duit simpanan RM34,299 dikebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAI TUNG (kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat Puan Lai pada Disember lalu di pejabatnya di Taman Johor Jaya, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah terkejut melihat wang simpanannya berjumlah RM34,299 dalam akaun bank lesap setelah dipindahkan ke empat akaun yang tidak dikenali.

Mangsa yang dikenali sebagai Lai, 57, berkata, dia menyedari perkara itu berlaku ketika hendak melakukan transaksi pembayaran insurans anaknya pada 29 Disember lalu.

“Ketika menyemak akaun secara atas talian, saya dapati baki akaun saya tinggal RM20 sahaja. Saya terkejut kesemua duit saya selama ini lesap begitu sahaja.

“Saya hairan bagaimana wang simpanan itu hilang begitu sahaja. Saya dapati wang tersebut dipindahkan dalam enam transaksi kepada empat akaun yang berbeza.

“Saya telah membuat aduan kepada bank terbabit dan mereka menyatakan bahawa telah menghantar nombor pas pengesahan transaksi ke nombor telefon saya namun saya tak pernah menerimanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di Jalan Rosmerah, Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir ialah ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Lai berkata, wang daripada akaun telah dipindahkan ke akaun lain pada 27 dan 28 Disember lalu ke akaun atas penama Nurani Amran, Emmalia Razali, Billplz Sdn. Bhd. dan Wan Muhammad Zulfadli.

Suri rumah itu berkata, dia hairan bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan dia tidak pernah menekan sebarang pautan laman sesawang yang mencurigakan atau memberikan butir akaun kepada sesiapa.

“Pihak bank menjelaskan bahawa mereka tidak dapat bertanggungjawab terhadap isu itu. Saya amat terkesan dengan perkara ini dan berharap mendapat pembelaan oleh pihak berkuasa,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 29 Disember lalu.

Dalam pada itu, Cai Tung berharap pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan segera terhadap kes seperti ini.

“Kita dapati pemilik akaun terbabit masih aktif dan belum disenaraihitamkan. Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan kepada pemilik yang mungkin menjadi orang tengah (mule account) kepada sindiket penipuan.

“Pada tahun lalu antara Januari hingga Jun sahaja, sebanyak RM25 juta kerugian direkodkan angkara scam, peningkatan 70 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, isu tahap keselamatan membabitkan pihak perbankan juga perlu dipandang serius bagi mengelakkan penipuan atas talian berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI