fbpx

Tambah dua lorong lori, 75 lorong motosikal di Tambak Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan bercadang menambah lorong motosikal daripada 50 kepada 75 lorong bagi mengatasi kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan telah mengambil beberapa langkah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengatasi kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah yang telah diambil termasuklah dengan menambah laluan lori tanpa muatan kepada dua lorong berbanding hanya satu lorong sebelum ini.

Menurut beliau, selain itu, kerajaan juga akan menambah mesin pengimbas bagi laluan pejalan kaki daripada satu mesin kepada tiga mesin bermula Jun tahun ini.

“Kunjungan saya hari ini berkaitan dengan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan diambil untuk mengatasi kesesakan di CIQ BSI ini.

“Oleh itu, beberapa langkah penyelesaian jangka masa pendek telah dibuat termasuklah menambah lorong lori tanpa muatan dan penambahan mesin pengimbas melibatkan kos berjumlah RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melakukan lawatan kerja di CIQ BSI, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut memberitahu, pihaknya akan mengkaji permintaan kerajaan negeri untuk menambah lorong motosikal sedia ada daripada 50 lorong kepada 75 lorong.

“Permohonan ini dilihat wajar dan mampu dilaksana tanpa melibatkan kos perbelanjaan besar, kerana ia tidak membabitkan pembinaan struktur bangunan baharu sebaliknya hanya ubahsuai kaunter Jabatan Imigresen sedia ada.

“Untuk tujuan tersebut, kita jangka ia akan menelan kos sebanyak RM2.57 juta untuk dilaksana, tetapi ini masih di peringkat perbincangan, belum diputuskan lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI