fbpx

30 projek rintis Jendela@PPR dijangka siap menjelang April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor (kanan) ketika lawatan ke PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth, hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Program Jendela@PPR yang melibatkan 30 projek rintis untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan meliputi 13,218 unit rumah di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.

Apabila siap kelak, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 53,000 isi rumah khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah atau B40 untuk menikmati kemudahan mengakses internet secara percuma selama sembilan bulan.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini, 27 daripada 30 projek rintis bernilai RM22 juta itu telah hampir siap dengan melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik, ‘router’ dan modem serta perkhidmatan internet berkapasiti 30Mbps di setiap unit rumah.

“Selepas tempoh sembilan bulan (mengakses internet secara percuma) ini, PR1MA (Projek Perumahan 1Malaysia) akan memperkenalkan pula pakej internet berkelajuan 30, 60 dan 100Mbps secara pilihan dengan harga yang sangat kompetitif dan mereka (penghuni PPR yang terlibat) boleh melanggan perkhidmatan itu mengikut kemampuan masing-masing.

“Saya yakin dengan adanya kemudahan seperti ini, golongan pelajar sekolah khususnya tidak ada masalah lagi untuk buat kerja rumah secara ‘online’ (dalam talian) berbanding dahulu. Ini adalah hadiah atau ‘angpau’ untuk rakyat di PPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika sesi lawatan ke PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth di sini yang turut dihadiri oleh beberapa tetamu lain, hari ini.

Kira-kira 1,488 penduduk di PPR tersebut dijangka menjadi kumpulan penghuni PPR pertama di Pulau Pinang yang akan menikmati kemudahan internet secara percuma selama sembilan bulan itu.

Difahamkan, kerja-kerja pelaksanaan program Jendela@PPR di PPR Taman Bagan Jaya yang melibatkan 382 rumah itu dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya bulan depan.

Dalam pada itu, Kor Ming turut memuji Pulau Pinang selaku negeri pertama yang mewajibkan kemudahan mengakses internet sebagai sebahagian daripada keperluan asas dan utiliti untuk membangunkan satu-satu projek.

“Dulu, nak buat sesuatu projek pembangunan itu, utiliti atau asasnya hanyalah air dan elektrik. Dalam hal ini, Pulau Pinang adalah negeri pertama (yang mewajibkan internet dalam pembangunan),” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI