fbpx

Mercun punca ramai budak, remaja jadi cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARIS panduan penjualan bunga api serta mercun akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

PETALING JAYA – Tindakan kerajaan membenarkan penjualan mercun dan bunga api dikhuatiri bakal mengundang padah apabila lebih ramai kanak-kanak dan remaja mengalami kecederaan termasuk putus jari atau hilang anggota badan semasa musim perayaan.

Malah, kebenaran ini disifatkan ramai pihak seolah-olah memberi galakan kepada golo­ngan berkenaan untuk bermain mercun seterusnya mengubahsuai mengikut kehendak masing-masing sama ada lebih kuat atau sebaliknya.

Mohd. Zulkifli Mat Diah, 53, dari Tumpat Kelantan, berkata, dia tidak setuju sama sekali dengan kebenaran penjualan mercun selepas tragedi yang menyebabkan dua jari tangan kiri anaknya, Mohd. Ramdan, 17, yang kudung akibat bermain mercun bola.

“Sehingga hari ini, kawan-kawan anak saya memanggilnya dengan gelaran ‘Dan Kudung’. Kejadian yang menimpa Mohd. Ramdan tidak boleh berlaku kepada orang lain kerana saya tahu betapa peritnya dia menanggung malu sehingga ke hari ini.

“Seeloknya, kerajaan perlu memperhalusi semula keputusan itu. Sebelum ini, banyak kes mercun meletup di tangan semasa ia dijual secara haram.

“Jika dibenarkan, sudah pasti lebih banyak kes-kes kudung berlaku selepas ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Batang Padang di sini semalam.

Mohd. Zulkifli berpendapat, cukup sekadar bunga api dibenarkan semasa musim perayaan kerana mercun tetap boleh didapati meskipun penjualannya diharamkan di negara ini.

MOHD. ZULKIFLI (kiri) menunjukkan jari Mohd. Ramdan yang putus akibat bermain mercun bola di Kampung Kubang Batang, Tumpat semalam.

Sementara itu, Mohd. Ramdan memberitahu, kejadian yang berlaku itu merupakan detik hitam yang masih tidak dapat dilupakan sehingga hari ini.

Menceritakan kisah itu, katanya, ketika kejadian, dia mengutip mercun bola yang dibakarnya apabila mendapati sumbu ­terpadam sebelum mercun tersebut meletup semasa berada di tangan kiri.

“Sehingga hari ini saya sudah tidak bermain malah menyentuh sebarang jenis mercun terutamanya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya masih trauma dengan peristiwa yang berlaku,” jelasnya.

Di Johor Bahru, pesara polis, Talib Hashim, 61, berkata, secara amnya setiap bahan yang meletup adalah berbahaya untuk dijual secara berleluasa kepada orang ramai khususnya kanak-kanak.

Ujarnya, kerajaan perlu melihat setiap kejadian yang berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan kecederaan seperti putus jari dan buta mata termasuk kematian seorang kanak-kanak di Simpang Renggam satu ketika dulu.

“Hakikatnya, penjualan mercun adalah berbahaya khususnya ­melibatkan letupan yang besar seperti mercun bola, ketupat dan padi.

“Sebut apa sahaja jenis mercun sebenarnya memang bahaya, apatah lagi jika diubah suai oleh pemain yang inginkan bunyi lebih kuat,” ujarnya.

MERCUN akan mudah didapati selepas kerajaan membenarkan penjualannya. – Gambar hiasan

Sementara itu di Seberang Perai, Pulau Pinang seorang suri rumah Farra Waheda Mohd. Yusof, 41, berkata, tindakan kerajaan membenarkan penjualan mercun sebenarnya akan memberi implikasi lebih buruk kepada masyarakat terutama golongan kanak-kanak.

“Kalau dijual berleluasa akan menyebabkan lebih ramai ­mangsa yang putus jari dan hilang anggota badan.

“Kalau boleh kajilah dengan lebih mendalam lagi mengenai hal ini kerana keselamatan anak-anak yang dirisaukan.

“Banyak lagi perkara perlu diberi perhatian, isu pendidikan serta masalah sosial yang berlaku kebelakangan ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI