fbpx

‘Jalan rosak dah sebulan, tunggu ragut nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Jalan Ibok-Payoh di Kemaman yang rosak teruk akibat banjir dan masih belum dibaiki sehingga kini.

KEMAMAN – Tiada apa yang diharapkan daripada kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Batu 9, Ibok dan Kampung Pa­yoh di sini selain merayu kepada pihak berkuasa untuk membaiki segera jalan raya yang rosak akibat banjir sejak sebulan lalu.

Menurut penduduk, jalan raya yang menjadi akses utama mereka untuk ke pusat bandar dan Chukai di sini mengalami kerosakan teruk sehingga mengundang risiko kepada pengguna.

Hasil tinjauan Kosmo! Ahad, sebahagian Jalan Ibok – Payoh tersebut telah runtuh dan mendap disebabkan hakisan sehingga laluan kirinya terpaksa ditutup untuk kegunaan semua kenderaan.

Seorang penduduk, Mohd. Azlan Azri, 45, berkata, laluan kanan yang masih dibuka pula banyak berlubang sehingga membahayakan keselamatan pengguna.

“Kerosakan jalan ini masih belum dibaiki walaupun sudah le­bih sebulan banjir besar ber­akhir.

“Ia mengancam nyawa kami khususnya dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya di sini semalam.

Mohd. Azlan berkata, situa­si tambah berisiko pada waktu malam memandangkan laluan itu bukan sahaja sempit, malah gelap ekoran ketiadaan lampu jalan.

Seorang penduduk, Wong Kim Siah, 60, pula berkata, kesesakan sering berlaku di jalan tersebut disebabkan hanya satu laluan boleh dilalui pada waktu ini.

Tambah membimbangkannya, struktur jalan raya itu dikhuatiri bakal rosak lebih teruk sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan tidak dilakukan segera.

“Laluan ini masih lagi dilalui kenderaan berat khususnya lori mengangkut bijih besi yang dikhuatiri boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk.

“Kami bimbang jika teruskan dibiarkan tanpa dibaiki, runtuhan terus berlaku sehingga jalan ini tidak boleh dilalui langsung,” katanya.

Sehubungan itu, Kim Siah berharap pihak berkenaan mengambil cakna mengatasi masalah berkenaan dengan segera. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI