GEORGE TOWN – Golongan wanita hari ini terutama yang berusia lingkungan 40-an lebih cenderung untuk mengumpul wang dan memenuhi impian mereka dengan memiliki harta berbanding memikirkan soal mencari suami.
Malah, golongan ini yang kebanyakkannya berpendidikan dan memiliki kerjaya hebat turut tidak kisah dilabel sebagai anak dara tua atau ‘andartu’ oleh orang sekeliling.
Rata-rata mereka yang ditemui mengakui, keputusan untuk tidak berumah tangga walaupun usia telah lanjut tidak bermaksud mereka menolak jodoh ataupun terlalu memilih pasangan, sebaliknya belum bersedia memikirkan untuk berumah tangga.
Difahamkan, majoriti daripada wanita bergelar andartu ini adalah dalam kalangan eksekutif syarikat swasta, pegawai di agensi kerajaan termasuk ada yang masih melanjutkan pengajian di peringat sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian.
Seorang jurutera eksekutif di sebuah syarikat swasta, Aziyan Rahman, 47, berkata, dia langsung tidak kisah digelar ‘wanita senja’ walaupun usianya kini hampir mencecah 50 tahun.
Menurut Aziyan, senario kehidupan ketika ini memaksanya untuk lebih mengutamakan hala tuju masa depan berbanding memikirkan untuk berkahwin.
“Masalah keretakan dalam perkahwinan yang dilalui oleh pasangan-pasangan lain juga membuatkan saya trauma untuk menamatkan zaman bujang meskipun menyedari pernikahan adalah perkara yang dituntut dalam Islam.
“Saya mempunyai sasaran dan matlamat hidup. Selagi tidak memiliki harta hasil titik peluh sendiri, selagi itu saya tidak mahu fikir untuk berkahwin.
“Sekurang-kurangnya kena ada sebuah rumah sendiri dan bukannya bergantung kepada orang tua untuk sediakan.
“Zaman sekarang ini, wanita perlu mempunyai aset yang mencukupi dalam bentuk kewangan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku di kemudian hari.
Bukan tidak mahu mencari jodoh, cuma mungkin belum sampai masanya,” katanya.
Aziyan turut mengakui, norma kehidupan ketika ini sebenarnya tidak boleh dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh wanita pada 20 tahun lalu.
Dalam pada itu, seorang lagi eksekutif di syarikat penerbitan yang mahu dikenali sebagai Deeyana, 44, berkata, sindiran sebagai andartu yang sering diterimanya bukanlah satu masalah besar yang perlu difikirkan sehingga boleh memberi tekanan.
Katanya, apa yang penting adalah setiap wanita mempunyai impian tersendiri sebelum berkahwin termasuk menyediakan segala keperluan hidup demi masa depan yang lebih terjamin,
“Mahu atau tidak, wanita hari ini perlu mempunyai sistem kewangan yang kukuh. Wanita juga tidak boleh terlalu bergantung kepada harta lelaki sebab dibimbangi akan menimbulkan masalah di kemudian hari.
“Ini bukan soal menolak jodoh kerana saya pernah melalui fasa percintaan, tetapi ia tidak kekal. Mungkin juga saya belum menemui pasangan yang sesuai,” katanya yang kini lebih fokus kepada ibu bapa dan kerjaya.
Seorang penuntut di sebuah universiti awam dikenali Esnita, 29, berkata, setiap individu perlu menghormati keputusan atau tindakan yang ambil oleh orang lain kerana masing-masing mempunyai perancangan hidup.
“Secara peribadi, saya tidak takut digelar andartu walaupun ramai yang berkata bahawa usia 20-an adalah usia paling sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
“Banyak perkara perlu difikirkan kerana takut-takut kita terpilih pasangan yang salah.
“Perkahwinan ini bukan untuk satu atau dua bulan sahaja. Jika dilihat negara maju terutama Korea Selatan, kebanyakan wanita di sana berkahwin pada usia 40 tahun dan perkara itu menjadi normal untuk menstabilkan dahulu kerjaya,” katanya.
Jelasnya lagi, statistik penceraian di negara ini yang semakin meningkat dan banyak dikaitkan dengan perkahwinan usia muda juga menjadi asbab dia lebih berhati-hati dalam menyentuh perihal berumah tangga.
“Ada juga perceraian yang berlaku disebabkan masalah kewangan. Bagi saya, pendidikan menjadi keutamaan bagi seorang wanita untuk memilikinya.
“Ini kerana, keadaan ekonomi yang teruk sekarang ini telah memberi tekanan kepada ramai pihak termasuk mereka yang sudah berumah tangga,” katanya. -KOSMO! ONLINE














