fbpx

Wang RM3,200 lesap setelah ‘bell boy’ hotel 5 bintang angkat bagasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA- Saat manis percutian bertukar menjadi pahit apabila sejumlah wang RM3,200 yang disimpan dalam beg bagasi ‘lesap’ setelah pelayan hotel atau ‘bell boy’ membawa naik dari lobi hotel.

Kisah seorang lelaki itu dikongsikan menerusi akaun Twitter @norazambudin yang terjadi pada 26 Januari lalu di sebuah hotel lima bintang terletak di Melaka.

Di dalam hantaran tersebut, lelaki itu berkata dia meletakkan lima buah beg ke atas troli yang disediakan oleh pekerja berkenaan di lobi hotel sementara dia meletakkan kereta.

“Lepas mendaftar masuk, selang beberapa minit kemudian, pekerja hotel datang menghantar beg. Saya perasan salah satu zip beg terbuka dan mendapati wang sejumlah RM3,200 telah hilang.

“Setelah membuat laporan, saya bersama-sama pihak polis ingin menyemak sistem televisyen litar tertutup (CCTV), namun pihak hotel mengatakan CCTV di bahagian lobi dan keseluruhan tidak berfungsi sejak 2017.

“Pihak hotel juga tidak mahu bekerjasama dan saya bertindak untuk membuat aduan ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bahagian Melaka,” tulis lelaki itu.

Walau bagaimanapun, ketika pihak MOTAC menghubungi pihak hotel, mereka mengubah kenyataan dengan mengatakan CCTV berfungsi dalam keaadan baik tanpa sebarang masalah.

Tambah pula, ketika dihubungi oleh MOTAC, pihak polis juga mendakwa lelaki itu gagal mengesahkan amaun yang hilang sedangkan telah pun dinyatakan di dalam laporan polis sebelum ini.

Lelaki itu kemudiannya menemui jalan buntu dan meminta pandangan orang awam cara untuk mendapatkan wang hasil titik peluhnya itu semula.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ada yang pernah mengalami situasi yang sama di hotel lima bintang tersebut, selain mempersoalkan kecuaian lelaki itu meletakkan sejumlah duit di dalam bagasinya.

“Aku baru kena tahun lepas dengan hotel ini. Nasib duit beratus-ratus je. Pelik macam mana boleh hilang sebab sudah yakin duit itu diletakkan dimana. Rupa-rupanya pekerja masuk senyap-senyap masa kami turun sarapan,” komen Bella.

“Kalau dah tahu sedang melancong, jangan biar merata duit itu atau jangan masuk dalam bagasi. Pegang sahaja sendiri. Insaf sebab dulu pernah kena benda yang sama,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI