fbpx

Isu pakaian seksi di IPD, individu perlu hormat badan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Program Hiking Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di Taman Perseketuan Bukit Kiara. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan setiap individu perlu mematuhi tatacara berpakaian ketika berurusan di pejabat kerajaan terutama melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut boleh diberi kelonggaran berdasarkan bentuk kecemasan yang membabitkan nyawa.

Menurutnya, sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) juga sudah mengeluarkan arahan mengenai tatacara berpakaian apabila berurusan di pejabat-pejabat kerajaan.

“Jadi kemudian ketua jabatan ataupun agensi masing-masing akan secara budi bicaranya menentukan tatacara berpakaian yang dibenarkan.

“Tetapi dalam keadaan kecemasan bolehlah kita membuat kelonggaran.

Namun, kita kena lihat apakah bentuk kecemasan tersebut dan adakah ia berkait dengan hidup atau mati,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Hiking Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Komuniti Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang wanita bertindak melakukan provokasi gara-gara tidak dibenarkan masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, baru-baru ini kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.

Beliau berkata, wanita terbabit yang merupakan pengadu telah mengenakan seluar pendek sehingga menampakkan paha.

“Sehubungan itu, pegawai polis yang bertugas telah menasihati supaya pengadu menukar kepada pakaian yang lebih sopan.

“Jadi mungkin berlaku salah faham di antara pihak orang awam dan juga anggota yang bertugas,” ujarnya.

Namun, katanya, orang ramai dinasihati agar menghormati arahan pihak kerajaan dan memegang kukuh kepada salah satu Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“kita pun ada Rukun Negara yang (mengajar) tentang kesopanan dan kesusilaan. Ini salah satunya adalah supaya kita pun hormat-menghormati.

“Ini kerana terdapat ramai pihak berurusan di pejabat kerajaan meliputi pelbagai lapisan masyarakat. Jadi, kita ingin menunjukkan bahawa jabatan kerajaan adalah tempat di mana orang ramai berurusan dalam keadaan yang tertib dan sopan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI