fbpx
MUS dan isterinya sering bergaduh disebabkan hal kewangan. Gambar hiasan

Disisih mentua sebab kerjaya bergaji rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH tamat pengajian, seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Mus menyunting teman wanitanya untuk dijadikan isteri yang sah.

Pada ketika itu, Mus menyatakan dia belum bersedia sepenuhnya memandangkan baru tamat pengajian dan ingin mencari pekerjaan terlebih dahulu.

“Namun, teman wanita dan keluarganya desak saya untuk melangsungkan perkahwinan.

“Jika saya tidak berbuat demikian teman wanita saya akan dijodohkan dengan orang lain,” katanya yang kini berusia akhir 20-an.

Disebabkan terlalu menyayangi teman wanitanya, Mus bersetuju untuk berkahwin meskipun dia belum bersedia dari segi kewangan.

Bagaimanapun, Mus bersyukur kerana keluarganya membantu dia untuk melangsungkan perkahwinan tersebut.

Mus memaklumkan, dia tidak dapat menafikan isterinya itu berasal daripada keluarga yang boleh dikatakan agak senang.

Malah, abang dan kakak iparnya juga memiliki kerjaya yang baik dalam sektor kerajaan serta swasta.

Setelah berkahwin, Mus cuba mencari kerja yang bersesuaian, tetapi rezeki masih belum berpihak kepadanya.

Dia hanya mampu menjawat jawatan yang tidak setaraf dengan pendidikannya.

“Saya sekadar bekerja sebagai kerani dengan pendapatan yang tidak begitu banyak dan hanya cukup-cukup untuk menyara isteri.

“Setelah berkahwin, saya memilih untuk tinggal bersama keluarga kerana tidak mampu menyewa rumah sendiri,” jelasnya.

Bagaimanapun, isterinya itu tidak begitu selesa tinggal bersama keluarga Mus kerana di rumah itu juga ada keluarga adik-beradik yang lain.

Akhirnya, Mus berpindah dan tinggal bersama keluarga isterinya memandangkan tidak ramai yang tinggal di rumah mentuanya itu.

Dalam pada itu, Mus mengakui dia agak tertekan setelah berkahwin apabila melihat gaya hidup keluarga isterinya yang serba mewah.

Malah, isterinya juga sering berbelanja mewah dan Mus yang sering menjadi mangsa untuk membayarnya.

“Isteri saya tidak bekerja dan dia banyak menghabiskan masa di rumah.

“Ada ketikanya apabila kami keluar makan bersama mentua, mereka memesan hidangan yang boleh dikatakan agak mahal dan saya perlu membayarnya,” tegasnya.

MUS yang bekerja sebagai kerani dikatakan gagal membahagiakan isterinya dari segi kewangan. – Gambar hiasan

Malah, ada ketika dia dan isteri bergaduh kerana hal yang melibatkan kewangan.

Mus dikatakan berkira dengan keluarganya.

Tambahan pula, Mus pernah mendengar ibu mentuanya bertanya isterinya sama ada dia menyesal atau tidak berkahwin dengannya.

Pada masa sama, Mus mengakui, dia menerima layanan yang kurang baik oleh keluarga mentuanya kerana dianggap tidak berjaya dari segi kerjaya.

“Saya boleh merasainya, mereka seakan tidak mahu berborak bersama saya apabila mengadakan perhimpunan keluarga.

“Apa yang menyedihkan mereka turut memerli saya di hadapan isteri saya kerana tidak dapat memberikan kemewahan,” ulasnya.

Bukan itu sahaja, Mus tidak diajak untuk pergi bercuti bersama ke luar negara sedangkan semua ahli keluarga yang lain pergi termasuk isterinya.

“Jika mereka ajak pergi, saya akan berusaha untuk mencari duit untuk pergi bersama-sama.

“Namun, saya seperti dipinggirkan. Malah, isteri saya langsung tidak meminta kebenaran saya untuk pergi bersama-sama mereka,” katanya.

Mus juga merasakan dia seakan tidak diterima dalam keluarga isterinya itu.

Terdetik di dalam hati Mus untuk melepaskan isterinya kerana dia sedar akan kekurangan diri.

“Sebagai seorang lelaki, saya berasa seperti tidak berguna kerana tidak mampu untuk memberikan apa yang isteri mahukan.

“Hal ini menghantui diri saya dan akhirnya saya berbincang dengan isteri. Saya juga menyatakan kesediaan untuk melepaskannya, jika dia tidak bahagia hidup bersama saya,” tegasnya.

Akhirnya, isterinya menyatakan bahawa dia sememangnya ingin dilepaskan.

Sebelum ini, dia tidak menyatakan hasrat berkenaan kerana kasihan kepada Mus.

Malah, keluarga mentuanya juga bersetuju jika mereka berpisah kerana merasakan Mus tidak dapat memberikan kebahagiaan dan kemewahan kepada isterinya.

“Saya ada meminta pendapat ahli keluarga saya. Mereka juga meminta saya melepaskan isteri jika dilayan sedemikian rupa.

“Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk melepaskan isteri saya dan kami berpisah secara baik di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di Pantai Timur,” katanya.

Setelah hampir lima tahun berpisah Mus telah menemui pengganti.

Malah, isteri dan ahli keluarga mentua baharunya juga melayan dan menerimanya dengan baik.

Kini, dia juga telah memiliki kerjaya yang setaraf dengan tahap pendidikannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN