KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan mengenal pasti lebih 10 lokasi panas melibatkan kawasan jeram dan lata yang menjadi tumpuan orang ramai di negeri ini yang berisiko berlaku kejadian kepala air.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, lokasi tersebut antaranya Gua Stong dan Dabong di Kuala Krai selain kawasan berhampiran sungai di Machang, Tanah Merah selain Jeli.
Katanya, sehubungan itu, pegawai dan anggota bomba dari balai di kawasan berdekatan termasuk Pasukan Penyelamat dan Keselamatan Air (SWART) ditempatkan di kawasan tersebut untuk menjalankan pemantauan.
“Pemantauan secara berkala dijalankan di kawasan pusat peranginan dan sungai untuk menasihatkan pengunjung agar segera beredar sekiranya keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Meskipun pusat peranginan sudah dibuka semasa musim Monsun Timur Laut (MTL), orang awam dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu aktiviti perkelahan sehingga Mac ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perbarisan Tahunan JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM, Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, beliau berharap ibu bapa tidak mengambil risiko dengan membawa keluarga ke kawasan air terjun ketika ini memandangkan cuaca dilihat masih tidak menentu.
Katanya, pusat peranginan air terjun merupakan antara kawasan yang paling berisiko berlakunya fenomena kepala air. – KOSMO! ONLINE