fbpx

Harum Malam – Kerja ‘gila’ Dain Said vs tapisan LPF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Harum Malam menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 Februari ini.

UNTUK pencinta filem yang mengekori rapat episod perjalanan karya sutradara hebat bernama Dain Said, Harum Malam pantas berada dalam senarai filem tempatan yang perlu diberi perhatian mata, fikiran dan emosi.

Perasaan tidak sabar mula berbangkit apabila Harum Malam diberitakan bakal merasuk pawagam negara bermula 9 Februari ini.

Bunohan, Interchange, Dukun dan kini filem seram Harum Malam, tiada secebis penafian bahawa Dain mempunyai gaya pengarahan tersendiri yang membuatkan deras adrenalin kelompok peminatnya membuak-buak untuk menderu ke panggung.

Penulis berkesempatan ke tayangan perdana filem yang dibintangi pelakon hebat seperti Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein tersebut.

JALAN cerita menarik hasil buah fikiran pengarahan Dain Said dalam Harum Malam.

Kecewa

Hasilnya, sesuatu yang agak mengecewakan. Bukan disebabkan kualiti filem tetapi faktor lain yang masih dirasakan berada di takuk lama dan takut pada bayang-bayang sendiri, tetapi dalam masa sama mengharapkan industri perfileman tempatan maju.

Benar, bercakap tentang penapisan filem. Tolonglah Lembaga Penapis Filem (LPF), kalau betul takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Kalau betul inginkan industri terus mara ke depan, buka minda dan dada, beri peluang pembikin filem berkarya dengan kepercayaan dan rasa tanggungjawab.

Satu pembaziran yang sia-sia, filem seram atau horror seperti Harum Malam terkandung kualiti yang bagus, namun dibatasi perihal-perihal yang membuatkan mood audiens di bangku penonton terus kacau-bilau.

Benda yang tak relevan dan patut di-beep tapi dikaburkan. Serius, terpinga-pinga tatkala sedang ‘syok’ menonton.

IQBAL lakonan Idan Aedan dilahirkan dengan anugerah deria keenam boleh melihat makhluk ghaib berusaha untuk melindungi keluarganya daripada gangguan syaitan.

Pelakon muda menonjol

Sudah 2023 dan zaman sudah serba moden, kalau betul nak tapis, tapis betul-betul macam negara China. Buat TikTok dan Facebook versi sendiri. Barulah tak ironi dan membingungkan kepala.

Berbalik tentang kualiti Harum Malam yang turut mengangkat bakat-bakat muda seperti Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra, penulis semestinya akan sekali lagi menonton filem tersebut, namun adalah lebih baik tonton di platform over-the-top (OTT).

Plot atau naratifnya luar daripada kebiasaan. Seperti filem-filem terdahulu Dain, Harum Malam juga membuatkan penulis berfikir lebih kritis biarpun naskhah berkenaan bernuansa seram.

Pengalaman sinematik

Satu pengalaman sinematiknya pelik, namun dalam pendekatan yang masih dikira terbaik. Siapa yang cernakan perihal seperti itu? Tak lain dan tak bukan, orangnya Dain Said.

Jika ada berasakan Munafik filem seram tempatan paling seronok (terpulang), namun Dain mempunyai seninya yang tersendiri layak diangkat dan dipelajari.

Dari segi perkembangan karakter ada sedikit kelompongan. Tidak semua karakter diberikan keadilan ‘on screen’. Misalnya, karakter lakonan Nabila Huda dan Nadiya Nisaa.

SINERGI hubungan bapa dan anak lakonan Bront bersama Idan memberi kesan luar biasa kepada penonton.

Sementara itu, pujian harus diberikan kepada barisan pelakon muda, terutama Idan Aedan yang memainkan peranan Iqbal dan Arnie Shasha (Ah Boy).

Mereka antara ‘highlight’ mengapa filem ini patut berada dalam senarai wajib tonton 2023.

Watak Ah Boy dalam adegan dirasuk hantu raya kekal berbekas dalam minda penulis sampai sekarang.

Idan yang melakonkan watak seorang remaja mempunyai deria keenam juga cemerlang melunaskan tanggungjawabnya.

Baru masuk Februari, Harum Malam membuka mata penulis bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat. Cuma masalah di sini adalah sistem yang masih terpuruk di tempurung lama.

Dah sampai masa LPF berlapang dada dan sedar bahawa Academy Awards masih terlalu jauh di langit sana.

Momen ke situ takkan pernah mampu tergapai selagi sifir lama tapisan lama diguna pakai. Apa pun, markah A untuk Harum Malam. Tak sabar menunggu versi ‘director’s cut’ di mana-mana platfom OTT!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI