fbpx

Pelajar IPTS maut, trak pikap mengejut masuk simpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa tercampak ke atas trak pikap akibat rempuhan dalam nahas di simpang tiga di Jalan Dato Mohd Zin, Melaka, semalam.

MELAKA – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah trak pikap di simpang tiga di Jalan Dato Mohd Zin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, mangsa Muhammad Naqib Firdaus Noraizam, 21, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak DTM200 dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke Batu Berendam.

“Sampai di simpang Jalan TTC16, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dari arah bertentangan telah memasuki simpang secara tiba-tiba, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan tersebut.

“Akibat rempuhan itu, mangsa telah tercampak ke atas trak pikap berkenaan dan terjatuh ke jalan selepas kenderaan tersebut melanggar sebuah lagi motokar di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi mengetahui punca kematian.

“Pemandu trak pikap yang berusia 43 tahun dan bekerja sebagai jurujual hanya mengalami kecederaan ringan. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI